Tazkirah

Friday, August 21, 2009

Mengenang Ustaz Asri di TV3


ALLAHYARHAM USTAZ Asri ibrahim


PEMERGIAN Mohd. Asri Ibrahim atau lebih mesra dikenali Ustaz Asri meninggalkan kesan yang bukan sedikit buat para pejuang muzik nasyid khususnya dan industri hiburan amnya.

Seperti yang semua orang sedia maklum, perjuangan Ustaz Asri bersama kumpulan Rabbani yang mula diasaskan pada 1 Mac 1997 mendapat sambutan luar biasa.Perjuangan Ustaz Asri bersama Rabbani mereka mengajak masyarakat berzikir dan menyanyikan melodi indah bertemakan ketuhanan.Itulah manifestasi dakwah dari kaca mata Ustaz Asri yang akan terus dikenang sampai bila-bila.Justeru, sebagai mengenang perjuangan mulia Allahyarham, stesen televisyen TV3 mengambil inisiatif menerbitkan program Ustaz Asri Dalam Kenangan.Program istimewa itu bakal disiarkan hari ini pada pukul 6 petang.Selama sejam, para peminat setia Allahyarham Ustaz Asri berpeluang menonton semula rakaman persembahan kumpulan Rabbani di konsert-konsert yang pernah dirakamkan oleh stesen televisyen itu khususnya sewaktu beliau menjayakan Konsert Malam Sinar Maulidurrasul 1428H (2007).Tidak ketinggalan rakaman Konsert Rabbani Istimewa Maulidurrasul 1427H (2006) yang turut menampilkan persembahan duet beliau bersama artis-artis tanah air iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Mawi. Dalam program Ustaz Asri Dalam Kenangan ini juga, TV3 akan menyiarkan sedutan visual majlis pengkebumian Allahyarham serta wawancara bersama ahli Rabbani yang lain. Menyedari ramai peminat Ustaz Asri yang merasakan kehilangannya, TV3 memberi peluang kepada peminat dan penonton di rumah mengirim ucapan takziah ketika program ini disiarkan dengan cara menghantar SMS.Jadi, kepada peminat-peminat Allahyarham Ustaz Rabbani, pastikan anda tidak ketinggalan menonton program Ustaz Asri Dalam Kenangan di TV3 pada pukul 6 petang hari ini.

Wednesday, August 19, 2009

Ahlan Ya Ramadhan

Dikesempatan ni saya nak ucapkan Selamat menyambut bulan Ramadhan pada semua sahabat yang saya kasihi sekalian. Bulan yang mulia ini mungkin jatuh pada hari Sabtu ni. Insya`Allah. SahabatMusleem Semoga Ramadhan kali ini, kita rebut peluang yang Allah SWT berikan pada kita semua. Bulan Ramadhan adalah bulan yang paling istimewa buat kita semua. Maka, janganlah kita sia²kan Ramadhan yang bakal kita tempuhi untuk kali ini. Latih diri kita lebih untuk lakukan kebaikan Insya`Allah. Siapa tahu, akan datang kita berkesempatan lagi atau tidak untuk sambut Ramadhan? Allahu`alam.

Dikesempatan ini juga, SahabatMusleem saya nak share sedikit artikel mengenai bulan Ramadhan yang bakal kita tempuhi. Seperti biasalah, artikel diambil dari emel. Mari sama² kita tinjau, semoga bermanfaat. Insya`Allah. SahabatMusleem Marhaban ya Ramadhan!

Ramadhan

"Ya Allah berikan kepada kami barakah pada bulan Rejab, saya'ban dan berikanlah kami kesempatan untuk berjumpa kembali dengan ramadhanMu yang suci...kabulkanlah ya Allah..."

Rasulullah menganjurkan kepada para shahabat untuk memperbanyak ibadah pada bulan Ramadhan, nilai pahalanya akan dilipat gandakan hingga 700 kali lipat atau lebih,
Rasulullah juga menganjurkan memberi makanan berbuka ( iftar ) kepada orang-orang yang berpuasa kerana bagi orang tersebut akan mendapat pahala dari orang yang diberi juadah berbuka puasa tanpa mengurangi pahala orang tersebut.

Para sahabat bertanya : Ya, rasulullah saya tidak mempunyai apa-apa yang berharga untuk diberikan kepada orang yang berpuasa.

Rasulullah menjawab : Sediakanlah apapun yang kau punya walaupun hanya sepotong kurma, seteguk air ataupun segelas susu.

Persiapan Sebelum Ramadhan

i. Berdoa kepada Allah agar kita dapat bertemu Ramadhan, mohon dberikan kekuatan untuk melaksanakan shaum, qiyamullail dan amal sholeh lain.

ii. Membersihkan jiwa dan hati, bertaubat dengan sebenar-benarnya dari dosa dan perbuatan maksiat. Jangan sampai mengotori bulan Ramadhan dan puasa dengan berbagai kemaksiatan dan dosa.

iii. Mempersiapkan diri dengan banyak beramal sholeh pada bulan saya'ban terutama sekali puasa sbg pembukaan dan pengantar sebelum memasuki arena yang lebih besar ( Ramadhan ).
Bulan Ramadhan merupakan bulan dibukanya seluruh kebaikan dan rahmat, hanya mereka yang memiliki kesungguhan, daya tahan dan semangat tinggi yang mampu menuai pahala sebanyak-banyaknya.

iv. Berusaha untuk tafaqquh ( memahami ) hukum-hukum berkaitan dengan shaum, mengetahui petunjuk Nabi Shallallaahu 'alaihi wasallam sebelum memasuki Ramadhan, mempelajari syarat-syarat puasa, syarat sahnya, batalnya. Demikian pula kewajipan-kewajipan , larangan, sunnah-sunnah dan yang dibolehkan dalam puasa.. Juga zakat fitrah dan perilaku Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan diri dan keluarganya ketika bulan Ramadhan.

v. Mempersiapkan kegiatan dalam mengisi bulan Ramadhan.
Diantaranya -qira'atul Qur'an, mempelajari dan menghafalnya, qiyamullail, iftar jam'e, umrah Ramadhan, I'tikaf, sedekah, zikir, penyucian jiwa serta amal-amal sholeh yang lain .

Keistimewaan- keistimewaan lain yang dapat kita peroleh pada bulan Ramadhan adalah:

i. permulaannya penuh rahmat, pertengahannya penuh dengan keampunan dan akhirnya penuh dengan kebebasan
dari api neraka.

ii. Allah akan mengampuni dosa-dosa yang terdahulu bagi orang-orang yang melakukan puasa semata-mata kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah.

iii. Terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka.

iv. Ibadah wajib yang dilakukan pada bulan Ramadhan akan dilipatgandakan nilai pahalanya, dan bila melakukan ibadah sunnah pahalanya sama dengan ibadah wajib.

v. Di dalam bulan Ramadhan tersebut ada satu malam yang dinamakan malam lailatul qadar yang barangsiapa beribadah pada malam tersebut nilai pahalanya lebih dari beribadah selama 1000 bulan.

"Ya Allah, turunkanlah berkat dan salamMu atas diri kekasihmu, nabi Muhammad saw, para pengikut Baginda, setara dengan kerisauan baginda terhadap umatnya serta curahkanlah Nur RahmatMu atas Baginda selama2nya"

Ameen ya robbal a`lameen. Selamat menjalani ibadah puasa Sabtu ni pada semua. Salam Ramadhan. SahabatMusleem Sayang sahabat semua!

Wassalam,

Friday, August 14, 2009

Al Fatihah Ustaz Asri (Rabbani)

Dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali. Al-fatihah.Allahyarham Asri, Rabbani.

KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.Allahyarham yang juga penyanyi utama kumpulan itu dilaporkan pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Monday, August 10, 2009

Peringatan: Doa H1N1....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم..الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين، وعلى اله وصحبه أجمعين

Sebentar tadi, ade seorang lagi sahabat saya sebarkan mesej pasal H1N1 ni. Macam biasalah, di YM. Info pasal doa' kononnye utk hadapi H1N1 ni. Katanya ada unsur² syirik disitu dan kalau diperhatikan ayat pada doa' itu dan maksudnya tiada nama Allah disebutkan. Allahua'lam. Mesej yang saya terima kat YM td berbunyi begini:

"Berhati-hati dengan doa yang kononnya untuk menghadapi H1N1. Doa itu boleh dibaca di sini. Sebenarnya doa itu mengandungi unsur-unsur syirik. Harap jauhi dan ingatkan rakan-rakan anda untuk menjauhi doa ini dan sebarkan mesej ini. Syirik dosa besar, membuatkan amal soleh menjadi debu dan sia-sia. Allahualam."

Sebar²kan. Allahua'lam

Wassalam,

Puasa amalan terbaik hidupkan Syaaban

Umat digalak perbanyak ibadah sunat sebagai persediaan hadapi Ramadan

KEDATANGAN Syaaban memberi petanda kita semakin hampir untuk bertemu Ramadan al-Mubarak, bulan Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya.

Sebagai persiapan untuk menghadapi Ramadan apakah amalan yang disunatkan Rasulullah pada Syaaban? Sebenarnya pada bulan ini Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan Baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.

Aisyah berkata:

“Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka dan Baginda berbuka hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada Syaaban.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Selain amalan berpuasa, tiada hadis sahih menunjukkan Baginda SAW mengkhususkan amalan tertentu sempena Syaaban. Namun, amalan sunah lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat, berzikir dan berdoa.

Mengenai hikmah Rasulullah SAW meningkatkan amalan puasa pada Syaaban, Al-Hafiz Ibn Hajar mengulas dalam Fath al-Bari: “Hikmah lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada Syaaban adalah seperti yang disebutkan hadis dengan darjat lebih sahih daripada hadis terdahulu.

Hadis diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat al-Nasaai)

Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Syaaban dengan menggandakan ibadat puasa. Namun, ada beberapa perkara sering diperdebatkan mengenai puasa pada Syaaban iaitu adakah dibolehkan berpuasa pada keseluruhan Syaaban dan larangan berpuasa selepas pertengahan bulan ini.

Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan berpuasa sepanjang Syaaban. Sebahagian pendapat mengatakan kadangkala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban dan ada kalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar Syaaban saja.

Sebahagian lain berpendapat Baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan lain menurut kalendar hijrah kecuali Ramadan al-Mubarak. Manakala Baginda hanya berpuasa sebahagian besar hari pada Syaaban. Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis Nabi SAW yang menunjukkan Baginda pernah berpuasa sepanjang Syaaban dan ada pula yang menidakkannya.

Daripada Abu Salamah, Aisyah berkata: “Nabi SAW tidak berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak berbanding Syaaban. Sesungguhnya Baginda berpuasa sebulan penuh.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis daripada Aisyah yang menurutnya Nabi SAW hanya berpuasa sepanjang bulan pada Ramadan.

Bagi menghilangkan percanggahan yang timbul, Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis menunjukkan Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh Syaaban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.

Tambahnya lagi: “Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar daripada sesuatu bulan, maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan seseorang itu solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.”

Selanjutnya berkaitan perbezaan pendapat ini, Al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan: “Tetapi, jelas sekali pendapat ini (boleh berpuasa sebulan penuh ketika Syaaban) seakan-akan terpaksa. Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu Baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada Syaaban.

Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi: “Baginda SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain Ramadan.”

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula. Menurut Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuasa pada hari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Tanggapan dilarang berpuasa pada Syaaban selepas memasuki hari ke 15 bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika memasuki pertengahan Syaaban, janganlah kamu semua berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sebenarnya tidak wujud percanggahan antara hadis melarang berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban dan hadis yang membenarkannya. Jumhur ulama membolehkan berpuasa pada Syaaban diteruskan walaupun selepas pertengahan bulan.

Jelas di sini Nabi SAW berpuasa pada sebahagian besar Syaaban. Justeru, marilah kita hidupkan Syaaban dengan memperbanyakkan ibadah puasa.

Sunday, August 9, 2009

Amalan-amalan di bulan Syaaban

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

1. Memperbanyakkan puasa sunat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa RAsulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

2. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang mengagunkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

3. Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Friday, August 7, 2009

Cerita 1- Maryam dihantar ke Baitul Maqdis


PANDANGAN di kota Baitul Maqdis. Di sinilah Maryam mengabdikan dirinya kepada Allah.


PADA suatu malam yang sunyi, Maryam dibawa ke Baitul Maqdis oleh ibunya, Hannah."Aku serahkan anakku ini kepada tuannya. Sebelum ini aku sudah bernazar untuk menyerahkan anakku menjadi hamba abdi di rumah suci ini," kata Hannah kepada pendeta-pendeta di situ.

"Baiklah, kami akan menjaga anakmu ini," balas pendeta-pendeta tersebut.

Setelah Hannah pulang, tinggallah Maryam di tempat suci itu. Ramai pendeta berebut untuk memelihara Maryam.

Pelbagai alasan diberi mereka agar dapat mengasuh Maryam. Pendeta yang paling tegas sekali ialah Nabi Zakaria. Baginda menyatakan bahawa baginda mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga Imran, iaitu keluarga Maryam.

Semua pendeta tidak mahu mengalah. Mereka sepakat membuang pensel masing-masing ke dalam sungai. Pensel siapa yang tidak tenggelam, maka dialah yang berhak menjaga Maryam.

Hanya pensel Nabi Zakaria sahaja yang tidak tenggelam. Maka Maryam pun diserahkan kepada Nabi Zakaria. Nabi Zakaria memelihara Maryam dengan penuh kasih sayang dan dijaga seperti anaknya sendiri.

Suatu hari, Nabi Zakaria ke bilik Maryam. Baginda terkejut apabila melihat sedulang makanan berada di depan pintu bilik Maryam. Baginda pun segera bertanya kepada Maryam: "Dari mana datangnya makanan ini semua?"

"Makanan ini adalah daripada Allah. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab," balas Maryam.

Melihat kepada keperibadian Maryam yang mulia itu, Nabi Zakaria berharap agar baginda juga dikurniakan cahaya mata. Allah telah mengkabulkan doa Nabi Zakaria.

Isteri baginda yang sudah tua itu pun mengandung. Nabi Zakaria sungguh gembira apabila dikurniakan seorang anak lelaki. Anak itu diberi nama Yahya. Yahya adalah salah seorang nabi Allah.

Maryam terus membesar menjadi seorang wanita soleh yang amat dihormati. Beliau amat suci dan menjadi contoh kepada semua orang lain. Maryam juga merupakan seorang perempuan yang sangat mulia.

Beliau amat taat dalam melaksanakan perintah Allah dan sentiasa menjauhi perbuatan maksiat dan dosa. Setiap hari yang dilaluinya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah.

Sebagai memenuhi syarat ibu Maryam serta menunaikan nazar ketika beliau mengandungkan Maryam dahulu, Maryam diletakkan di sebuah biara di dalam Masjid al-Aqsa. Di sanalah beliau menumpukan ibadah kepada Allah SWT.

Kesucian beliau terpelihara kerana beliau tidak pernah keluar dari biliknya apatah lagi untuk dilihat dan disentuh oleh mana-mana lelaki.

*Petikan daripada buku Untaian 366 kisah-kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Thursday, August 6, 2009

Bencana penyakit hasil kesilapan manusia di dunia

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Umat Islam kena sentiasa beringat urus kehidupan, jangan berputus asa dengan musibah

SELEPAS beberapa kali diserang pelbagai jenis wabak, kini dunia bungkam dengan gabungan penyakit yang membentuk pandemik H1N1, selesema babi yang bermula di Mexico dan Amerika Syarikat, kini menyerang dunia menyebabkan beribu mangsa meninggal dunia. Semua orang risau, pelbagai langkah pencegahan dilakukan, ada yang dengan inisiatif tinggi, tidak kurang juga yang menganggap ia masalah remeh yang mustahil berlaku pada diri sendiri, sehingga apabila benar-benar diuji, barulah ada runtun di hati.

Sudah jelas dalam al-Quran dengan pelbagai peringatan kepada sesiapa yang kufur dan bermaksiat kepada Allah SWT. Balasan di dunia atau di akhirat tidaklah dapat dijangka, tetapi sebagai hamba lemah dan kerdil, semestinya kita sentiasa beringat dalam melakukan sesuatu perbuatan, bimbang jika menyalahi peraturanNya. Hari ini, kesilapan manusia dalam mengurus kehidupan dengan melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang terakam di dalam al-Quran menyebabkan ada antara kita yang terpaksa menanggung akibatnya.

Apa juga bencana yang berlaku kepada alam, kemalangan, perbalahan, permusuhan, hatta serangan wabak penyakit adalah kerana melanggar hukum Allah dan tabiat alam yang sepatutnya dipertahankan sebaik-baiknya. Hari ini, wabak selesema babi yang menular dengan pantas dan meragut nyawa adalah sememangnya wabak yang mudah berjangkit melalui sentuhan secara langsung dengan babi atau pemindahan virus selesema babi kepada manusia. Walaupun umat Islam tidak memakan babi atau terbabit secara langsung dalam menguruskan penternakan babi, virus yang menjangkiti manusia daripada babi boleh menyebabkan jangkitan antara manusia yang dijangkiti dengan manusia lain.

Hal ini tentulah amat mendukacitakan kita, kerana sebagai umat Islam, kita akur dengan larangan Allah SWT yang mengharamkan kita memakan bangkai, darah dan daging babi untuk menyelamatkan kita daripada penyakit berpunca binatang berkenaan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah ayat 3 bermaksud: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik."

Hakikat yang perlu diyakini ialah bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT jua. Di dalam Surah Al-hadid ayat 22 Allah SWT berfirman yang mafhumnya: "Tiada suatu pun bencana yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Loh Mahfudz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." Justeru, umat Islam haruslah memahami bahawa kuasa Allah SWT sahajalah yang menentukan sesuatu itu berlaku walaupun apa jua usaha yang dilakukan atau tidak diusahakan kerana kekuasaan Ilahi melebihi kuasa yang lainnya.

Sering kali kita merasa beruntung dan bertuah dengan rahmat yang direzekikan oleh Allah SWT kepada kita, yang kadangkala datangnya tanpa disangka. Sesekali pula ada musibah yang berlaku disebabkan oleh diri kita sendiri, lalu, jika kita berputus asa, tentulah kita merasa malu jika tidak bersangka baik dan menyerahkan segala urusan yang tidak mampu kita lakukan kepada pemilik segala kejadian ini.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hebat dan amat mengagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa bahagia dia bersyukur, maka ia peroleh kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga." (Riwayat Muslim).

Yang boleh kita lakukan ialah yakin dan berdoa bahawa wabak yang melanda akan terhapus juga akhirnya dengan kuasa Allah SWT yang menjadikan sesuatu dengan sebab dan musababnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah dan
Undang-Undang Universiti
Sains Islam Malaysia

Wednesday, August 5, 2009

BULETIN USIM - 640 TERIMA IJAZAH DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-7 USIM

Tahniah diucapkan kepada Para Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah berjaya menamatkan pengajian dan dianugerahkan skrol pada 1 Ogos 2009 ini. Pada tahun ini USIM telah menghasilkan seramai 640 graduan yang terdiri daripada pelbagai lapangan bidang ilmu iaitu Diploma Siswazah, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah (PhD). Majlis Konvokesyen ini telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pengurniaan ijazah telah disempurnakan olleh Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, Tuanku Canselor.

Pada tahun ini, seramai 21 orang graduan cemerlang dalam bidang akademik dan ko-kurikulum telah menerima Anugerah Khas pada majlis konvokesyen tersebut. Anugerah ini ditentukan berdasarkan pencapaian mereka yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Antara Anugerah Khas yang diberikan adalah Anugerah Pelajaran DiRaja, Anugerah Canselor, Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah Buku Universiti, Hadiah Buku Fakulti dan Hadiah Ko-Kurikulum.

Majlis Konvokesyen USIM ke-7 pada kali ini menyaksikan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) mengeluarkan seramai 24 orang graduan kumpulan sulungnya. Para graduan ini terdiri daripada 2 orang lelaki dan 22 orang perempuan yang merupakan kumpulan perintis bagi program Bahasa Arab dan Komunikasi Dengan Kepujian. Selain itu FPBU juga turut menganugerahkan skrol kepada 20 graduan sulung Diploma Lanjutan iaitu Diploma Pendidikan (Pendidikan Islam) yang berjaya menamatkan pengajian mereka.

Selain FPBU, 3 buah fakulti lain turut melahirkan graduan sulung untuk program pengajian masing-masing. Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) bakal mengeluarkan seramai 67 graduan untuk program pengajian Fiqh dan Fatwa dengan kepujian. Manakala Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) bakal melahirkan graduan sulung untuk dua program iaitu Pengajian Quran dengan Multimedia Dengan kepujian seramai 35 orang dan Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat Dengan Kepujian seramai 43 orang.

Fakulti Sains dan Teknologi sekali lagi menyaksikan graduan sulung bagi program Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko) iaitu seramai 27 orang dan program Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) seramai 19 orang.

Sehingga kini graduan USIM telah menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding jumlah graduan pada konvokesyen tahun lepas. Perkembangan ini menunjukkan bahawa USIM telah berjaya menghasilkan graduan yang berkaliber dan bermutu tinggi yang memiliki ciri-ciri yang diperlukan dalam pasaran kerja pada hari ini serta dapat dibanggakan oleh masyarakat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Oleh :
pro@usim.edu.my Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Tel : 06-7988025/8026/8028

Tuesday, August 4, 2009

Kelebihan Bulan Syaaban

Sabda Nabi s.a.w. :-
‘Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.’

Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga.Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub dan Nabi Daud.

Jika dia sempurnakan puasanya sebulan bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakrotulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam
kubur, dilepaskan daripada huruhara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari qiamat, dan diwajibkan syurga baginya.

Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir khamis
daripada Syaaban, dimasukkan dia ke dalam syurga.

Berkata Siti Aisyah r.a. :-
‘Bulan yang lebih dikasihi oleh Rasulullah S.A.W. ialah bulan Syaaban.’

Sabda Nabi S.A.W. :-
‘Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani).’

Sabda Nabi S.A.W. :-
‘Bahawa puasa Syaaban kerana membesarkan Ramadhan, siapa berpuasa tiga hari
daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersolawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu,diberkatkan rezkinya baginya. Bahawa Allah membukakan pada bulan itu tiga ratuspintu rahmat.’

Sabda Nabi S.A.W :-
‘Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban.’

Sabda Nabi S.A.W :-
‘Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia’. Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.’

Bulan Syaaban - keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Rejab dengan malam Isra’ Mikrajnya, dan keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Syaaban telah datang Jibril kepada Rasulullah S.A.W. lalu katanya :-
‘Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang tiada syirik denganNya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak dan derhaka terhadap ibubapa.’

Sabda Nabi S.A.W. :-
‘Allah menilik kepada hambaNya pada malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang syirik dan orang yang tiada bertutur dengan saudaranya.

Sabdanya lagi :-
‘Apabila pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyang, beribadat, dan puasa kamu pada siangnya. Allah berfirman, Adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala Aku afiatkannya. Adakah orang yang meminta rezki maka Aku rezkikannya, demikianlah pertanyaan lainnya sehingga keluar fajar subuh.

Tersebut dalam kitab Al-Barokah, bahawa jin, burung, binatang-binatang buas,ikan di laut berpuasa mereka pada hari Nisfu Syaaban.

Tersebut di dalam kitab Iqna’, bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah S.A.W.
kali keduanya, katanya :-
‘Ya Muhammad, gembirakanlah kamu bahawa Allah telah mengampunkan segala umatmu orang yang tiada mensyirikkanNya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga.’

Kata Syeikh Abdul Qadir Al-Kilani di dalam Ghaniah :-
‘Bahawa malam Nisfu Syaaban adalah hariraya malaikat, begitu juga pada malam Lailatul Qadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadat sepanjang-panjang malamnya. Dan bagi anak-anak Adam berhariraya padanyapada siang hari dengan berpuasa dan ibadat, kerana mereka tidur pada malamnya.

Allah tidak akan mengampunkan dosa pada malam Nisfu Syaaban kepada enam orang :- Orang yang kekal minum arak.
Orang yang derhaka dua ibubapanya.
Orang yang kekal dalam zina.
Orang yang banyak berkelahi.
Orang yang melakukan perjualannya dengan sumpah yang dusta.
Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi.

Sesiapa sembahyang pada malam Nisfu Syaaban daripada umat Muhammad S.A.W. terlebih afdal daripada ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah memberitahu kepada Nabi Isa lalu Nabi Isa pun berdoa kepada Tuhan, ‘Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad S.A.W.’