Tazkirah

Wednesday, September 16, 2009

Al-qadr: Jangan sibuk dengan mencari ‘tanda’

KITA sekarang berada pada fasa terakhir Ramadan yang mana di dalamnya terkandung malam al-qadar. Malam paling istimewa di mana mereka yang beribadat pada malam ini akan diberi ganjaran pahala 1,000 bulan atau 84 tahun.

Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)

Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya: Dan sesiapa yang bangun mendirikan lailatul qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (riwayat Bukhari)

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mustafa Abdullah bagi mengupas isu ini.

MEGA: Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ramai juga yang membacanya pada bulan mulia ini tetapi tidak ramai yang mengambil iktibar daripadanya. Mengapa berlaku demikian?

DR. MUSTAFA: Memang Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan salah. (al-Baqarah: 185)

Mengapa ada yang tidak mengambil iktibar daripada ayat-ayat Allah ini sebab utamanya adalah kerana kita tidak memahami al-Quran. Oleh yang demikian, kita tidak dapat menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya. Seterusnya, menyebabkan kita gagal menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Sejarah membuktikan bagaimana seorang yang digelar 'singa' seperti Saidina Omar al-Khattab yang pada zaman jahiliahnya sangat garang dan membenci Rasulullah SAW akhirnya menjadi insan yang hebat imannya selepas mendapat hidayah Allah menerusi ayat daripada surah Taha.

Bagi kita yang bukan Arab, hendaklah kita berusaha mempelajari al-Quran melalui pengajian-pengajian ilmu tafsir. Ini bukanlah terlalu sukar dilakukan kerana banyak institusi di negara kita sama ada masjid, surau atau juga pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan kuliah atau pengajian ilmu tafsir.

Satu lagi punca berlaku begini ialah kebanyakan kita hanya mempelajari al-Quran secara tradisi. Maknanya kita mula mengaji semasa kecil dan cukup setakat khatam al-Quran sahaja. Sepatutnya pencarian ilmu itu tidak terhenti di situ.

Sebaliknya, selepas belajar mengaji kita meningkatkan ilmu dengan mempelajari ilmu tajwid dan qiraat. Apabila dewasa diteruskan dengan pengajian ilmu tafsir.

Sebagai kitab yang memberi petunjuk seharusnya sikap kita kepada al-Quran adalah sama iaitu membaca, menghayati dan mengamalkannya. Sebaliknya, wujud perbezaan pendirian dalam hal ini. Mengapa ini berlaku?

DR. MUSTAFA: Tidak semua di kalangan manusia yang beragama Islam memiliki cita rasa yang sama terhadap al-Quran. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, ada yang bersederhana dan ada yang berlumba-lumba berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar. (Faatir: 32)

Ayat ini menggambarkan tiga kelompok manusia yang berbeza pendirian terhadap al-Quran:

a) Golongan yang menganiaya diri sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan. Sebabnya, mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi beramal dengan perintah Allah di dalamnya.

b) Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala. Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia melaksanakan isi kandungannya yang terdiri daripada hukum hakam Allah.

c) Golongan yang berlumba-lumba berbuat kebaikan. Mereka amat banyak melakukan kebaikan dan jarang membuat kesalahan. Mereka adalah golongan yang bersedia melaksanakan hukum Allah dalam al-Quran.

Seorang ulama terkenal, Muhammad Syakib Arslan berkata beberapa sebab yang membawa kemunduran umat Islam antaranya adalah kejahilan tetapi boleh diajar dan dibentuk.

Kedua, mempunyai ilmu tetapi tidak sempurna. Ini lebih bahaya daripada orang jahil yang lebih mudah diajar. Ketiga, rosak akhlak menyebabkan piawaian hidupnya adalah kebendaan.

Selain kehebatan malam al-qadr, al-Quran juga diturunkan pada waktu malam. Apakah hikmahnya?

DR. MUSTAFA: Antara hikmahnya, Allah SWT turun ke langit dunia setiap malam dan penurunan al-Quran pada waktu malam itu adalah satu kemegahan dan kemuliaan.

Kedua, ia memberi isyarat tentang beribadat pada waktu malam itu tidak ada riak. Menurut Imam al-Sya'rawi, beribadat dengan sebenar kepada Allah tanpa riak adalah dilakukan pada waktu malam. Seorang yang riak dan nifak tidak mampu beribadat pada waktu malam.

Ketiga, ia juga adalah isyarat kepada kelebihan solat waktu malam. Rasulullah SAW bersabda yang maksud-Nya: Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah puasa sunat bulan Muharam manakala solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat tengah malam (qiamullail). (riwayat Muslim)

Keempat, kita samawi juga diturunkan pada waktu malam. Bermula dengan Suhuf Ibrahim sehingga kepada al-Quran. Manusia dalam kegelapan maka turunnya cahaya Allah (kitab) bagi menerangi kehidupan.

Kelima, malam itu membayangkan keadaan gelap yang dihadapi oleh umat manusia. Maka muncul cahaya dalam kegelapan menerusi perutusan Nabi Muhammad SAW, penurunan al-Quran iaitu cahaya yang dapat menerangi hidup manusia yang hanyut dalam kegelapan jahiliah.

Kita selalu mendengar tanda-tanda malam al-qadar antaranya pokok sujud pada malam tersebut dan air yang masin menjadi tawar. Adakah ini berlandaskan nas yang sahih?

DR. MUSTAFA: Ini adalah pandangan orang lama-lama dan ia termasuk dalam riwayat Israeliyat. Tidak ada sumber yang jelas tentangnya. Tetapi ia masih ada sehingga hari ini kerana tanda-tanda tersebut terdapat dalam kitab-kitab jawi lama. Jadi, guru-guru agama masih menggunakannya.

Bagaimanapun, jika ada tanda-tanda tentang lailatul qadar, ia tidak boleh menggunakan akal atau logik tetapi mengikut nas. Alamat atau tanda secara langsung seperti yang dijelaskan oleh Ibn Uthaimin dalam Fatawawa Rasa'il Ibn Uthaimin antaranya:

1. Sinar cahaya sangat kuat pada malam al-qadr dibandingkan dengan malam-malam lain.

2. Bertambanh kuatnya cahaya pada malam itu.

3. Ketenangan dan kelapangan hati yang dirasakan oleh orang-orang yang beriman lebih kuat daripada malam-malam yang lain.

4. Angin dalam keadaan tenang pada malam al-qadr. Tidak bertiup kencang dan tidak ada rebut petir. Ini berdasarkan hadis dari sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Aku melihat lailatuk qadr kemudian dilupakannya. Lailatul qadr turun pada 10 akhir (bulan Ramadan) iaitu malam yang tenang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak hujan. (riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

5. Terkadang Allah memperlihatkan malam al qadr kepada seseorang dalam mimpinya. Sebagaimana yang terjadi pada diri para sahabat Nabi SAW.

6. Kenikmatan beribadat dirasakan oleh seseorang pada malam itu lebih tinggi daripada malam-malam lainnya.

7. Alamat selepas terjadi (iaitu pada pagi harinya) di antaranya, matahari terbit dalam keadaan tidak tersebar sinarnya dan tidak menyilaukan berbeza dengan hari-hari biasa.

Ini berdasarkan hadis dari sahabat Ubay bin Ka’ab yang mengatakan; Sesungguhnya Rasulullah mengkhabarkan kepada kami: Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu dalam keadaan yang tidak tersebar sinarnya. (riwayat Muslim)

8. Alamat yang menyebutkan bahawa tidak ada atau sedikit nyalakan anjing pada malam al-qadr adalah tidak benar kerana ada ditemui pada 10 malam terakhir Ramadan anjing dalam keadaan menyalak.

Ada juga yang beranggapan jika dapat malam al-qadr maka pada bulan lain bolehlah buat maksiat. Adakah ini betul?

DR. MUSTAFA: Ini silap. Apabila dapat pahala 1,000 bulan tidak bermaksud akan menafikan syariat yang lain yang dikenakan oleh Allah. Mendapat ganjaran lailatul qadr adalah keistimewaan tetapi syariat lain seperti kewajipan solat, puasa, zakat dan lain-lain masih perlu kita tunaikan.

Tentang alamat tadi, tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda malam al-qadr kita tidak mendapat malam tersebut.

Menurut Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir: “Barangkali seorang yang bangun pada malam al-qadr itu tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya.

“Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadat pada malam itu)”.

Tuesday, September 15, 2009

Masih ada yang tak puasa

SEORANG kawan penulis, yang menetap di Kuching Sarawak, mempunyai kisah tersendiri atau lebih tepat disifatkan sebagai ngeri setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Akibat ada salah seorg kawan kami mempunyai iras wajah yang saling tak tumpah seperti wanita Melayu, ini menyebabkan beliau sering ditahan oleh pihak berkuasa agama kerana didapati makan dan minum di khalayak ramai di bulan di mana umat Islam wajib berpuasa itu.

Sedangkan itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau seorang penganut Kristian yang berketurunan Iban!

"Memang ngeri apabila tiba-tiba kena serbu dan disoal siasat kerana menyangka saya tidak berpuasa dan sengaja makan di tempat terbuka.

"Walaupun mereka mendapati hanya satu salah faham apabila mengetahui identiti sebenar saya tetapi terkadang saya sempat 'dibasuh' termasuk kenapa saya sanggup mencemarkan imej Islam apatah lagi dengan makan di restoran Cina dan sebagainya lagi.

"Malu memang malu sangat ketika itu tak tahu nak di mana nak sorokkan muka ini," kata Norma.

Walaupun begitu Norma tidak menyalahkan sesiapa malah memahami tugas-tugas pihak berkuasa agama itu.

Bayangkan jika kejadian sebegini terjadi pada diri kita sendiri sebagai umat Islam. Pasti malu yang teramat sangat apatah lagi sehingga menarik perhatian orang sekeliling! Tentu kita mengharapkan tidak ada 'muka' ketika itu.

Tetapi gejala makan tanpa segan silu sama ada di tempat awam di bulan Ramadan masih menjadi penyakit di kalangan umat Islam.

Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) misalnya menunjukkan saban tahun pasti ada umat Islam yang ditahan kerana makan di khalayak ramai.

Walaupun di premis atau kedai makan yang agak tersorok, mereka menyangka perbuatan mereka akan terlepas. Sedangkan jika terlepas dari tindakan pihak berkuasa dan orang lain, belum tentu mereka terlepas dari pandangan Allah SWT. Tetapi semua itu sudah tidak menjadi hal, malah mungkin tidak akan perkataan serik pun dalam kamus hidup mereka.

Ini seperti yang akhirnya berjaya ditahan dalam Operasi Pemantauan dan Pencegahan Sempena Bulan Ramadan 2009 oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), baru-baru ini.

Operasi ini sebenarnya berjalan serentak di ketiga-tiga Wilayah iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Satu operasi yang melibatkan rondaan dan pemeriksaan di hampir 80 lokasi dengan pecahannya seperti di Pusat Bandar Raya, Brickfields, Sentul dan Wangsa Maju serta Cheras dan Bukit Jalil.

Keanggotaan atau kekuatan penguatkuasa adalah seramai 37 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan diketuai oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama (KPPA), Bahagian Penguatkuasaan JAWI, Zainul Abidin Mat Nor.

Operasi itu bermula jam 10 pagi dan berakhir pukul 3 petang, Selasa lalu.

Walaupun dalam keadaan hujan yang renyai dan kadang kala bertukar lebat namun keadaan cuaca yang sejuk dan lembap itu bukan penghalang kepada JAWI untuk melaksanakan tugas ini.

"Cuaca-cuaca sejuk macam ni, kalau pekena nasi lemak memang sedap nih!," gurau Pegawai Perhubungan Awam JAWI, Tuan Asmawi Tuan Umar yang turut menyertai Ops. ini.

Saya tersenyum kerana memahami apa yang beliau maksudkan. Kumpulan kami kemudiannya menuju ke sasaran destinasi pertama iaitu di bangunan Pejabat Pos Besar Malaysia berhampiran bangunan Dayabumi.

Mulanya menyangkakan kami akan mencari mereka yang ponteng puasa di mana-mana kedai makan yang ada di sekitar kedua-dua bangunan ini. Namun, berdasarkan maklumat atau aduan daripada mana-mana pihak sebelum ini, rupa-rupanya yang diperiksa merupakan lot letak kenderaan yang ada di situ.

Lot-lot tersebut terutama bagi meletakkan kenderaan motosikal di tingkat-tingkat bawah bangunan itu, sering dijadikan port kalangan kaki ponteng untuk 'menjamu selera.

Mereka hanya perlu curi-curi membeli makanan yang dibungkus atau istilah popularnya 'tapau' kemudian menuju di bahagian bawah bangunan yang keadaannya agak tersorok, gelap dan sunyi itu dan cepat-cepat curi makan di situ.

Kawasan itu dikatakan sangat popular atau istilahnya kawasan line clear bagi kaki-kaki ponteng puasa di sekitar Kuala Lumpur untuk tidak menjalankan kewajipan berpuasa ini.

Namun malangnya dalam operasi kali ini, setelah menghabiskan masa hampir sejam mencari dan meninjau-ninjau, sasaran yang dicari tidak ditemui. Malah sebarang bekas dan kesan pun tidak ada ditinggalkan, semuanya berkeadaan bersih dan tidak ada perkara yang mencurigakan berlaku.

Para penunggang datang dan meletakkan motosikal masing-masing dan kembali lalu keluar untuk pelbagai urusan.

Mungkin belum ada 'rezeki' lagi!

Kami kemudiannya meredah kesesakan jalan raya untuk ke destinasi seterusnya yang memungkinkan akan tertangkap juga mereka menciptakan pelbagai alasan 'uzur syarie' dan tidak dapat berpuasa.

Kali ini, kami sampai di Kompleks Wilayah di Jalan Dang Wangi dalam keadaan cuaca masih lembap dek hujan yang renyai-renyai.

Lazimnya, cuaca yang seperti itu menyebabkan ada perut yang 'menjerit-jerit' kelaparan dan minta diisi apatah lagi jika dapat meneguk segelas teh yang ditarik panas-panas, maka hangatlah badan yang sebelum ini kesejukan.

Inilah fenomenanya yang sedang dinikmati oleh tiga pemuda Melayu, tanpa segan silunya lagi di sebuah gerai mamak berhampiran kompleks itu.

Kedudukan gerai yang agak tersorok memungkinkan ketiga-tiga pemuda ini untuk makan dan minum tanpa menoleh kiri dan kanan.

Namun kehadiran kami disedari salah seorang dari mereka. Akibat terkejut, bagai tidak cukup tanah, dia berjaya melarikan diri tanpa menghiraukan dua lagi rakannya yang masih tergamam dan tidak sempat menyelamatkan diri itu.

Mungkin segelas milo panas yang sempat diteguk oleh pemuda itu menyebabkan dia mempunyai larian pecut yang cukup menakjubkan! Anggota-anggota penguatkuasa JAWI tidak terkejar untuk menahannya.

Dua pemuda yang kelihatannya begitu sihat dan tidak ada sebarang masalah kesihatan akhirnya mengakui mereka sepatutnya berpuasa, bukannya makan dan lebih teruk di tempat yang terbuka seperti ini.

Lupa niat

Tetapi salah seorang dari mereka cuba menjadikan alasan terlupa untuk berniat puasa untuk tidak berpuasa pada hari itu.

Jawapan yang sama sekali tidak dapat diterima akal itu hanya disambut dengan senyum sinis oleh para anggota penguatkuasa sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Butiran mengenai kedua-dua pemuda ini diambil sambil beberapa orang penguatkuasa JAWI yang lain mengambil juga keterangan dari tuan punya gerai makan.

Tuan gerai yang bersubahat itu diberi amaran keras supaya jangan mengaut untung dengan cara menangguk di air yang keruh seperti ini. Sedangkan tuan gerai makan itu sendiri seorang Muslim yang sedang menjalani ibadat puasa tetapi berniaga dengan menjadikan umat Islam sebagai pelanggan.

Kami kemudiannya bergerak ke Kompleks Membeli Belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman yang terletak tidak beberapa jauh dari Kompleks Wilayah itu. Kompleks Sogo ketika itu mula dikunjungi ramai orang kerana telah hampir waktu rehat atau waktu makan tengahari.

Di beberapa buah premis makan yang terdapat di tingkat bawah dan di sekitar kawasan kompleks itu para penguatkuasa menjalankan tugas dan mereka akhirnya berpuas hati kerana tiada umat Islam yang sengaja hendak menempah nasib tidak baik pada hari itu.

Begitupun usaha tetap diteruskan dengan menaiki ke tingkat 6 Sogo iaitu ke medan selera yang ada di aras itu. Semua premis makan di situ beroperasi seperti biasa dan beberapa pelanggan dilihat sedang enak menjamu selera.

Anggota penguatkuasa JAWI mula mendekati bagi mengenalpasti jika terdapat umat Islam yang tidak mematuhi peraturan.

Secara tiba-tiba kami tertarik dengan gelagat dua pemuda Melayu yang berada di ruang makan yang terletak di hujung dan mengadap tingkap luar ke arah Jalan Kuching.

Walaupun mereka kelihatannya tidak menjamu selera tetapi kedua-duanya mungkin tidak sedar perbuatan mereka yang sedang enak menghisap rokok merupakan satu lagi bentuk kesalahan.

Apabila semakin didekati didapati masih terdapat bekas-bekas polisterin dan gelas yang bersisa makanan di atas meja.

Pada mulanya mereka tidak mengaku bahawa mereka baru sahaja selesai 'menjamu selera' dengan mengatakan bahawa makanan tersebut baru sahaja dihabiskan oleh bos mereka yang berbangsa Cina.

Namun perbuatan mereka yang merokok, tidak membolehkan mereka terlepas dari diambil tindakan.

Sebelum meninggalkan Medan Selera itu, pihak penguatkuasa sempat menahan seorang lagi yang didapati melakukan kesalahan, tidak menghormati bulan Ramadan.

Seorang wanita Islam yang baru sahaja meletakkan semangkuk makanan di atas meja tanpa menyedari kehadiran para penguatkuasa JAWI yang telah lama berada di Medan Selera itu.

Setelah disoal siasat ternyata wanita ini seorang Islam dan menggunakan alasan, uzur syarie disebabkan datang haid untuk sebab dia tidak berpuasa.

Namun makan di khalayak ramai, tetap menjadi satu kesalahan dan wanita ini juga tidak terlepas dari diambil tindakan supaya menjadi pengajaran kepada dirinya dan umat Islam yang lainnya.

Demikian sedikit catatan Ops ini yang sebenarnya jauh sekali dapat menangani gejala ponteng puasa di kalangan umat Islam.

Ini kerana ramai yang masih mengambil kesempatan di atas ketidakhadiran mana-mana penguatkuasa Jabatan Agama Islam negeri.

Malah mereka boleh 'baca' dan mengatur pelbagai strategi supaya tidak dicekup.

Justeru, jika fenomena ini berlaku di hadapan mata anda, adakah anda hanya mampu pandang dan lihat sahaja atau apa?

Monday, September 14, 2009

Pencarian lailatul qadar

KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadan yang dirindui oleh para kekasih Allah SWT. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadan yang menandakan Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.

Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada.

Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya.

Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.

Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadan dan Aidil Fitri yang belum selesai.

Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita lalui ini.

Keutamaan lailatul qadar

Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan lailatul qadar.

Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.

Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah SWT yang 'haram' dilepaskan.

Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.

Benarlah pesan Rasulullah SAW bahawa, "Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan. (daripada mendapat segala kebaikan)".

Memang lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.

Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang.

Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama lailatul qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.

Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut.

Oleh itu memburu lailatul qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah SWT kepada kita.

Mendapatkan lailatul qadar

Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha.

Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.

Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan.

Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya.

Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.

Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)".

Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut.

Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan.

Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai.

Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan maka ampunilah aku".

Walaupun pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam.

Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati lailatul qadar.

Menghantar Pulang Tetamu Agung

Ramadan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi.

Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.

Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang.

Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah SWT menerima amalan mereka di bulan Ramadan yang berlalu.

Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadan kali ini hingga ke 'hujung desa'. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadan kali ini bersisa sedikitpun.

Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.

Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-'Aliyyil 'Adzim yang maksudnya, "Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung".

Saturday, September 12, 2009

Tarawih ibadah atau budaya?


Solat tarawih hanya disunat dikerjakan pada bulan Ramadan.


SETIAP malam Ramadan, tidak kira masjid, surau atau pun madrasah penuh dengan jemaah. Masjid, surau dan madrasah yang imamnya dari kalangan hafiz yang ada ilmu taranum akan menjadi tumpuan ramai berjemaah.

Lazimnya akan didengar selepas selesai terawih komen-komen tentang imam, kononnya imam di masjid, surau dan madrasah 'B' misalnya lebih sedap bacaannya dari imam di masjid, surau dan madrasah 'A', gaya bacannya sebiji macam juara qari tilawatil-Quran peringkat antarabangsa.

Kesanggupan bertarawih lapan atau 20 rakaat juga bergantung kepada sedap atau tidaknya bacaan imam.

Malah ada jemaah yang sanggup tukar masjid untuk bertarawih apabila imam di masjid yang dia lazim bertarawih ada musakah dan tidak dapat menjadi imam dalam tempoh semalam dua.

Persoalannya apakah sedap tidak sedap cara imam mengalunkan suaranya yang kena dijadikan faktor untuk bertarawih atau kerana mahu beramal ibadah kerana Allah.

Kalau kerana imam, maka sembahyang tarawih yang dikerjakan cuba ditahap dan distatuskan sebagai budaya, bukannya ibadah.

Kalau terlalu sedap sangat bacaan imam pun boleh menyebabkan makmum terbuai dan leka oleh bacaan imam.

Yang penting bagi yang jadi iman adalah lebih betul bacaannya, terutama al-Fatihah berbanding dengan makmum di samping syarat-syarat sah sembahyang yang lain.

Kalau semuanya sama betul bacaan belaka, kena pilih yang sempurna anggotanya dan kalau semuanya sempurna anggota, kena pilih yang paling tua tetapi bukan nyanyuk.

Manakala makmum pula kena pastikan kualiti sembahyang kena ditingkatkan. Cara kiam, takbiratul-ihram, bacaan al-fatihah kena betul, cara rukuk, iktidal. sujud dan duduk antara dua sujud serta segala rukun kena betul.

Syarat-syarat sah sembahyang kena dipelihara. Tak guna sembahyang sampai 20 rakaat kalau setiap rakaat dalam keadaan batal atau kalau sekadar sembahyang takut dikata kurang lebai kalau sekadar bertarawih lapan rakaat misalnya.

Tidak boleh mendahului iman, tidak boleh dengan sengaja berdehem, tidak boleh gerakan badan tiga kali berturut-turut. Nampaknya dalam keghairahan bertarawih, hal-hal sedemikian tidak diambil berat.

Bila gatal tidak boleh digaru dengan kuat, cukup sekadar menggunakan sebatang jari, digaru tiga kali dan berhenti, kemudian garu lagi, juga sekadar tiga kali kalau gatal masih belum hilang.

Amal ibadah, termasuk sembahyang tidak boleh dibuat dalam keadaan jahil. Masih ramai jemaah yang bangun lebih awal dari iman bagi memulakan rakaat sembahyang, juga masih ramai yang pakai kopiah atau songkok, malah serban juga menutup separuh dari dahi.

Tidak kurang pula yang berdehem, yang mengeluh mungkin kerana tidak tahan terlalu berdiri kerana imam baca surah yang panjang dan ada yang menggaru sampai bergerak seluruh badan melebihi tiga kali.

Masih ada yang cara rukuk, sujud dan bersimpuhnya tidak betul dan tidak menepati apa yang dihukumkan sebagai syarat sah sembahyang sebagaimana yang terkandung dalam kitab-kitab fikah.

Sembahyang bererti kita sedang berdepan dengan Allah dan ketika membaca al-fatihah bermakna kita sedang berkomunikasi dengan Allah kerana setiap ayat al-fatihah yang kita baca, Allah akan memberi respons.

Sebab itulah al-fatihah lebih afdal dibaca ayat demi ayat, bukannya dibaca dalam keadaan bersambungan.

Kalau adalah imam yang baca al-fatihah dalam hanya senafas semata-mata kerana nafasnya panjang atau kerana mahu cepat selesai, imam sedemikian walaupun seorang hafiz ia termasuk dalam bilangan hafiz yang jahil.

Mudah-mudahan kita bertarawih pada bulan Ramadhan kali ini dalam keadaan lebih berilmu supaya kualiti amal ibadah, iman dan takwa kita kian meningkat berbanding dengan Ramadan-Ramadan yang telah lepas.

*RAMLI ABDUL HALIM ialah bekas pelajar Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan dan menjadi pengamal media sejak tahun 1973.

Thursday, September 10, 2009

Teladani 10 akhir Ramadan Nabi

RAMADAN menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.

Pertama; jika setiap hamba benar-benar seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Kedua; yakin dengan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kupasan ringkas hadis

Para ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)

Mengikat kainnya

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah 'mengikat kainnya'.

Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan dengan istilah 'mengikat kainnya'.

Maksud yang kedua ialah baginda SAW bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)

Menghidupkan malam harinya

Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.

Antaranya melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)

Membangunkan Ahli Keluarganya

Dalam hal gerak kerja beribadah (solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.

Perilaku baginda SAW membangunkan ahli keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta' menyebutkan, bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: "Solat! solat!"

Perkara-perkara yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan

lMandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai harumanIbn Abi 'Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a: "Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak". (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini) Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi'en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi'en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

lMencari lailatul qadr Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud, Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari) Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu". (Riwayat Abu Dawud).Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu. Melewatkan sahur Daripada Sahl ibn Sa'd berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata: "Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)

lMelakukan iktikafIktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5) Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari". (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)

lMembanyakkan doaUlama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa' fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak". (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

Tuesday, September 8, 2009

Berdosa tidak bayar zakat fitrah

SOALAN 1:
Ada orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya? Saya keliru kerana ada yang kata boleh.

Jawapan:

Menunaikan zakat fitrah adalah wajib yang mutlak di dalam Islam dan mengabaikannya adalah haram dan berdosa di sisi Allah SWT. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: Rasulullah telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Hikmah zakat fitrah adalah untuk membersihkan orang-orang yang berpuasa daripada kelalaiannya, Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada bicara yang tiada manfaatnya dan kata-kata kotor". (riwayat Abu Daud).

Ulama fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran.

Namun, jika kerana terlupa, maka hendaklah segera dia menunaikannya walau sudah terlepas waktunya (menjadi qada) dan segeralah memohon ampun kepada Allah SWT di atas kelalaiannya sebelum itu. Wallahua'lam.

Soalan 2:

Adakah zakat fitrah boleh ditunaikan seawal Ramadan atau sebaik-baiknya ditunaikan sebelum solat sunat Aidilfitri?

Jawapan:

Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: "Telah mewajibkan Rasulullah SAW zakat fitrah pada bulan Ramadan".

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie, Ahmad, Ishaq, Tsuri dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan.

Abu Hanifah, Imam Laits dan Abu Tsaur pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu syawal.

Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri.

Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

Soalan 3:

Seorang miskin tidak wajib menunaikan zakat harta tetapi wajib pula menunaikan zakat fitrah, bolehkah dijelaskan keadaan ini?

Jawapan:

Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Abu Hurairah r.a menyatakan: Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya - daripada kalangan kaum muslimin. (riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, rujuk Hukum Zakat, al-Qardhawi, hal. 927).

Ini kerana, zakat harta mempunyai syarat nisab (batas minima kekayaan) yang berbeza dengan zakat fitrah. Nisab zakat harta adalah 85 gram emas pada harga semasa; sedangkan zakat fitrah meletakkan, mereka yang mempunyai makanan dari malam raya sehingga keesokan harinya (sehari semalam) adalah dianggap wajib menunaikan zakat fitrah. Di samping itu, kadar zakat fitrah juga disandarkan kepada nilai segantang Baghdad makanan asasi (2.7 kg), iaitu kadar yang dianggap rendah dan tidak membebankan golongan miskin bagi menunaikannya.

Jika seseorang itu tidak mempunyai makanan yang mencukupi bagi diri dan keluarganya pada sehari semalam pada hari raya, maka terlepaslah kewajipan zakat fitrah ke atas dirinya.

Monday, September 7, 2009

Aura Ramadan suburkan sedekah


bubur lambuk Kampung Baru, Kuala Lumpur diadakan hasil sedekah orang ramai.


MENJELANG Ramadan, maka antara perkara yang sering diingati oleh umat Islam ialah amalan sedekah dan zakat. Sebenarnya, zakat juga adalah sedekah; namun ia adalah sedekah yang wajib. Misalnya Allah SWT menyatakan: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah" (at-Taubah: 103), maka makna 'sedekah' di sini adalah zakat. Begitu juga apabila Allah SWT menyatakan: "Sesungguhnya sedekah itu adalah untuk fakir, miskin, amil, muallaf…" (at-Taubah: 60), maka sekali lagi, 'sedekah' yang dimaksudkan oleh Allah SWT di sini ialah zakat.

Oleh itu, kita dapat membahagikan amalan sedekah di bulan Ramadan ini kepada dua, iaitu sedekah sunat dan sedekah wajib (zakat). Sedekah sunat memang sudah menjadi sesuatu yang sebati, khususnya di dalam jati diri masyarakat Melayu-Islam.

Misalnya, jika di kampung-kampung, amalan memberi sedekah walaupun sepiring kuih atau pengat pisang, memang diamalkan sejak turun-temurun. Natijahnya, apabila jiran saling bertukar juadah, maka makin suburlah ukhuwah. Inilah hebatnya aura sedekah.

Namun begitu, arus pemodenan semakin menghakis budaya atau amalan saling bertukar juadah yang berupa sedekah ini. Masyarakat Melayu-Islam yang tinggal di bandar besar, makin sibuk untuk menghulurkan walau sepiring cekodok pisang kepada jiran di sebelah pagar atau jiran yang berkongsi dinding dengannya.

Sedangkan, mereka tinggal di rumah teres atau apartmen, yang masing-masing berkongsi dinding, lantai bahkan bumbung. Maka, inilah cabaran kehidupan moden dalam mengekalkan tradisi bersedekah khususnya di bulan Ramadan.

Di samping itu, kita juga seharusnya merebut pahala yang lebih besar dan utama sepanjang Ramadan ini dengan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa.

Ironinya, senario ini lebih subur di kawasan bandar dan ia agak asing jika di kampung. Agaknya, inilah pula kelebihan di bandar besar. Pengalaman penulis sendiri saat belajar sehingga berkerja di Kuala Lumpur, sempat beberapa kali berbuka puasa secara percuma di beberapa buah masjid beramai-ramai dan ia amat meriah.

Masjid-masjid ini pasti telah mendapat tajaan daripada individu mahu pun syarikat umat Islam yang pemurah, sehingga mereka mampu menyediakan makanan kepada umat Islam dalam jumlah yang besar setiap hari.

Dalam menegaskan hal keutamaan memberi makan orang berbuka puasa ini, Nabi Muhammad SAW sendiri menyatakan: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka dia akan beroleh pahala seperti mana pahala orang yang berpuasa itu tanpa pahala orang itu dikurangi sedikit pun," (riwayat Ahmad, an-Nasai, Termizi, Ibn Majah dan Darimi dan disahihkan oleh al-Albani)

Namun, bagaimana pula dengan amalan moreh, iaitu memberi makan kepada umat Islam di masjid dan surau setelah mereka mendirikan solat Tarawih? Sebenarnya, amalan ini bukanlah sesuatu yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah SAW.

Tradisi orang Melayu

Tiada satu pun hadis yang menunjukkan nabi dan para sahabatnya makan beramai-ramai atau nabi menganjurkan agar diberi makan kepada orang yang sudah bertarawih. Bahkan, amalan ini lebih merupakan tradisi orang Melayu di negara ini sahaja. Ia tidaklah dijadikan amalan lazim walau di negara-negara Arab sendiri.

Namun, kita mungkin boleh mengambil sudut pandangan yang positif dalam hal moreh ini. Sesungguhnya, majlis moreh ini adalah tradisi yang sekian lama telah diamalkan di kampung-kampung.

Bahkan jika di kampung, masjid atau surau telah menyediakan satu jadual khas yang tertera seluruh nama ketua rumah di kampung berkenaan dan juga tarikh mereka perlu membawa juadah ke masjid atau surau sebagai moreh. Maka, dari satu sudut mungkin tradisi ini sesuai diamalkan di kampung, justeru amalan menjamu orang berbuka puasa adalah amat jarang dilakukan.

Dari satu aspek lain, dengan adanya juadah yang dinamakan moreh ini, ia menjadi 'umpan' bagi menarik anak-anak remaja dan orang-orang muda agar lekat di masjid sehinggalah tamat 23 rakaat solat tarawih dan witir.

Bahkan, amalan moreh ini juga mampu mendekatkan ukhuwah di kalangan penduduk kampung. Namun, janganlah sampai jamuan moreh ini membazir pula, maklumlah masing-masing sudah kekenyangan waktu berbuka puasa.

Di samping itu, moreh juga sepatutnya tidak membebankan umat Islam, memandangkan ia bukanlah suatu sunnah yang menjadi keutamaan di bulan puasa.

Timbul persoalan, kenapakah umat Islam menjadi begitu pemurah pada bulan Ramadan? Ada orang yang kedekutnya bukan main pada bulan-bulan lain, namun menjadi pemurah pula di bulan Ramadan.

Malah ada yang begitu mudah melakukan amal kebaikan termasuklah bersedekah. Setiap hari tidak lokek menghantar pisang ke masjid atau menaja bubur lambuk.

Bagi menjawab soalan ini, bukankah Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan akan dirantai semuanya." (riwayat Bukhari, Muslim, Nasai, Ahmad dan Baihaqi)

Hadis ini hakikatnya adalah suatu simbolik, bahawa sepanjang Ramadan manusia secara alaminya akan terdorong menjadi baik. Sebab itulah kita mampu melihat ada orang yang malas solat sebelum Ramadan, namun berubah menjadi rajin bahkan tidak meninggalkan solat tarawih.

Ada muslimah yang tidak menjaga aurat pun akan mengenakan busana yang lebih sopan sepanjang Ramadan. Bahkan ada kaki rokok akan menjadikan Ramadan sebagai detik awal bagi mereka menghentikan tabiat merokok. Kerana apa? Ya, kerana aura Ramadan yang mulia dan begitu kuat telah mendorong kita agar menjadi lebih lunak mentaati Allah SWT, termasuklah dalam bab bersedekah ini.

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sebaik-baik sedekah adalah pada bulan Ramadan" (riwayat Termizi)

Kehebatan sedekah Ramadan

Kemudian, mari kita telusuri lagi kehebatan amalan bersedekah di bulan Ramadan ini. Di dalam kitab Mustika Hadith, ada dicatatkan sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sesiapa mendekatkan dirinya (kepada Allah pada bulan Ramadan) dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain." (riwayat Ibn Khuzaimah)

Hakikatnya, hadis ini adalah suatu motivasi paling hebat yang mampu mendorong kita untuk meningkatkan amalan bersedekah sepanjang Ramadan. Bayangkan, jika kita memberikan derma ke tabung masjid sebanyak RM1,000, maka ia akan diberikan pahala seolah-olah kita sudah berzakat RM1,000.

Tetapi, jika kita benar-benar menunaikan zakat RM1,000, maka di sisi Allah SWT kita seolah-olah sudah menunaikan zakat sebanyak RM70,000. Amat besar ganjarannya di sisi Allah dan sudah pasti kita tidak patut melepaskan peluang keemasan ini.

Sehubungan dengan itu, maka tepatlah Ramadan ini menjadi sebuah sekolah tarbiah rohani yang terbaik buat kita, yang disediakan oleh Allah SWT.

Ini kerana, pada bulan inilah kita benar-benar menghayati pelbagai amalan sunat khususnya dalam bab meraikan sedekah dan zakat.

Mudah-mudahan, setelah 30 hari dilentur nafsu kita dan 30 malam dicanai rohani kita melalui qiyamullail, maka kita akan benar-benar menjadi hamba Allah yang bertakwa.

Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Maka sesiapa yang berpuasa (di siang hari) dan malamnya mendirikan qiam dengan penuh keimanan dan kebersihan hati (ihtisabaan), maka akan dihapuskan dosa mereka seperti mana pada hari mereka diperanakkan." (riwayat Ahmad dan an-Nasai). Wallahua'lam.

Friday, September 4, 2009

Afdal lewatkan bersahur

SOALAN:
Apabila tiba Ramadan, selalu orang sebut bersahur. Apa maksud bersahur?

JAWAPAN:

Sahur adalah makan walaupun sedikit pada akhir malam. Ia adalah perkara sunat ketika berpuasa. Sekalipun tidak makan, maka minum pun sudah dinamakan bersahur.

Sabda nabi SAW yang bermaksud: “Bersahurlah kerana pada sahur ada keberkatan.” (riwayat Bukhari)

Antara kekuatan sahur adalah sebagai penguat dan motivasi untuk berpuasa. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Minta tolonglah dengan makanan sahur atas puasa.” (riwayat al-Hakim)

Keberkatan sahur juga kerana kita mengikut sunnah Nabi SAW. Kebetulan doa pada waktu sahur amat mustajab.

Seelok-eloknya kita bersahur pada akhir malam kerana hadis Nabi SAW yang maksudnya: “Sentiasa umatku dalam kebaikan jika mereka mengawalkan berbuka dan melewatkan sahur”. (riwayat Ahmad)

Wednesday, September 2, 2009

Elak rugi di bulan Ramadan


bermain dam adalah antara aktiviti kegemaran semasa bulan puasa tetapi ia perlu dihadkan untuk mengelak masa kita terbuang begitu sahaja. - Gambar hiasan


SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadhan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran,

Daripada jumlah itu, 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, bertarawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang Subuh supaya cepat khatam.

Yang kena diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega Sale dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega Sale dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan dari mubaraknya Ramadan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba dari kelarisan jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan bulan Ramadan sebagai pesta juadah. Sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha.

Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah.

Jjika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diganjarkan juga dengan pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.