Tazkirah

Saturday, December 5, 2009

Islam dan Kesempurnaan Akhlak


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Akhlak mulia antara sifat alami atau usaha..

Akhlak merupakan sebuah tabiat atau ketetapan yang asli, akhlak mulia juga mampu dicapai dengan jalan usaha. Maksudnya manusia mampu menjadi baik dan berakhlak mulia dengan usahanya sendiri, bukan menyerahkan nasibnya pada takdir semata-mata.

Nabi SAW berkata kepada Asyajj Abdul Qais:

قال له النبي صلى الله عليه و سلم : إن فيك لخلتين يحبهما الله الحلم والأناة

“ Sesungguhnya dalam dirimu ada dua sifat yang Allah sukai; sifat sopan santun dan tidak tergesa-gesa.

قال : يا رسول الله أنا أتخلق بهما أم الله جبلني عليهما ؟

Dia berkata : Wahai Rasul Allah, adakah kedua sifat itu merupakan hasil usahaku, atau Allah yang telah menetapkan keduanya kepadaku?

فقال له النبي صلى الله عليه و سلم : بل الله جبلك عليهما

Nabi SAW menjawab ; “ Bahkan Allah yang mengurniakan keduanya kepada kamu.

فقال : الحمد لله الذي جبلني على خلقين يحبهما الله ورسوله

Kemudian dia berkata ; “ Segala puji bagi Allah yang mengurniakan aku dua akhlak yang dicintai oleh Allah dan Rasulnya.

[Hadis Abu Daud 5525 Kitab Al-Adab, Ahmad 4/206, Muslim 25 dan 26 Kitab Al-Iman, Imam Tirmizi 2011 Kitab Al-Birr Wa As-Silah]

Hadis ini menunjukkan akhlak terpuji dan mulia merupakan sesuatu yang alami atau nikmat yang Allah kurniakan buat manusia dan juga merupakan sesuatu yang boleh dicapai. Dan akhlak yang lebih baik dapat dicapai dengan usaha .

Siapakah yang lebih utama, seseorang yang Allah kurniakan kepadanya akhlak terpuji atau seseorang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi akhlak mulia tersebut? Yang mana paling baik antara kedua hamba tersebut?.

Jawapannya sudah semestilah mereka yang dikurniakan Allah akhlak yang mulia itu lebih baik kerana dia lebih mudah untuk menghadirkan akhlak mulia dalam kehidupan dirinya.

Manakala yang bakinya, seorang yang berusaha bersungguh melawan hawa nafsunya dan melatih dirinya untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Dan dia mendapat pahala atas usahanya melawan hawa nafsu dan berpindah ke arah yang lebih baik. Tetapi dari segi kesempurnaan akhlak, sudah pastilah hamba yang pertama tadi lebih baik.

Adapun seseorang yang dikurniakan Allah akhlak yang lebih baik dan berusaha untuk menjadi lebih baik akhlaknya, maka dia adalah yang terbaik.[ Al-Fawaid oleh Ibnu Qayyim m/s 210 dan 211].

Dari pernyataan di atas, seseorang yang berada dalam keadaan di atas, mereka berada di antara 4 golongan;

1. Mereka yang terhalang untuk berakhlak mulia samada secara alami dan melalui jalan usaha.

2.Mereka yang tidak dikurniakan Allah akhlak yang mulia, tetapi berusaha untuk mendapatkannya dengan jalan usaha.

3. Mereka yang dikurniakan akhlak yang baik dan berusaha untuk menjadi lebih baik akhlaknya.

4. Mereka yang ada akhlak yang baik, tetapi tidak berusaha untuk memperbaikinya.

Para pembaca blog yang dihormati,
- Daripada 4 golongan di atas, di manakah anda?


Kesempurnaan Syariat Islam ditinjau dari sisi akhlaknya.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kita untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

[Ahmad dalam Musnadnya [ 2/381], Hakim dalam Mustadraknya [2,613], Bukhari dalam Sahihnya Kitab Adabul Mufrad [No. 273], Baihaqi [10/192], Imam Haithami dalam Majmu3 Az-awaid [ 9/15]. Disahihkan oleh Al-Albani dalam As-Silsilah As-Sahihah [No. 45]. ]

Sesungguhnya ajaran Nabi-nabi terdahulu untuk membaiki akhlak manusia dan mengajak menyembah pencipta yang satu. Dan ajaran Nabi Muhammad SAW menyempurnakannya.

Cara Memperolehi Akhlak yang mulia.

1. Beristiqamah dalam beramal dan mempraktikkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasul Allah SAW.

Sesungguhnya mengubati jiwa dan memperolehi akhlak bukan dicapai dengan cara sendiri, tetapi dengan merujuk dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Sessungguhnya Allah menciptakan manusia dengan akal untuk membezakan di antara kebaikan dan keburukan, tetapi dengan petunjuk dari Allah dengan perantaraan Rasulnya. Seolah-olah ubat itu dari Allah dan para RasulNya yang memberi panduan tentang penggunaan ubat tersebut.

Rasul adalah doktor bagi hati, tidak ada jalan untuk membersihkan hati dan memperbaikinya kecuali dengan petunjuknya, serta sifat tunduk dan patuh dan meminta pertolongan kepada Allah.

2. Bersahabat dengan sahabat yang berakhlak mulia.

Untuk mendapatkan akhlak yang mulia, sudah semestinya melalui sahabat yang berakhlak mulia. Sahabat yang berakhlak mulia ibarat sebuah sekolah yang mana kita menimba akhlak yang mulia darinya.

عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً.

Dari Abu Musa, Nabi SAW bersabda “ Perumpamaan sahabat yang baik dan buruk akhlaknya seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi.Adapun penjual minyak wangi, kekadang ia menawarkan minyak wangi untukmu, kekadang ia member minyak wangi untukmu, dan kekadang kamu mendapat bau wangi darinya. Adapun penjual besi, jika ia tidak membakar pakaianmu, kamu akan mendapat bau yang tidak elok darinya.”

[Bukhari [ No. 2101], Muslim [ No. 146]]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ.

Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda : Seseorang itu dengan agama sahabatnya, maka hendaklah kalian melihat orang yang akan kalian bersahabat.

[Hadis Hasan Sahih oleh Tirmizi [No. 2378], Abu Daud [No. 4833], Ahmad dalam Musnadnya [2/303 dan 334], dihasankan oleh Albani dalam kitab Sahih Jami’ As-Saghir [ No. 3545] dan Silsilah Hadis As-Sahihah [ No. 927].

3. Memerhatikan akibat yang buruk dari akhlak yang tercela.

Manusia diciptakan dengan akal untuk membezakan perkara baik dan buruk. Dan mereka yang berakhlak buruk akan ditinggalkan dan dikenali dengan perbuatannya dan percakapannya. Maka apabila kita menjumpai akhlak yang buruk, maka segeralah meninggalkannya.

4. Mengambil contoh dari akhlak Nabi SAW.

Sesungguhnya Rasul Allah itu contoh ikutan yang paling baik bagi seorang Muslim. Maka, sewajarnya kita mencontohi setiap akhlak dan adab Rasul SAW.

Allah SWT berfirman:

وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ (Al-Qalam 4)

“Dan engkau (Muhammad) memiliki budi pekerti yang agung!”(Al-Qalam 4)

Akhir kalam, saya menyeru diri saya dan para pembaca untuk bersama-sama membaiki akhlak dan beristiqamah dalam melawan hawa nafsu. Semoga Allah membantu kita dalam menasihati sesama kita dan mengislah diri kita ke arah kebaikan.

No comments:

Post a Comment