Tazkirah

Thursday, July 16, 2009

Peristiwa Israk Mikraj

Israk Mikraj adalah satu peristiwa yang sangat luarbiasa yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah melalui Israk dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam.

Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku setelah Nabi menempuh tahun dukacita di mana Nabi telah kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Mereka berdua adalah tokoh penting yang telah membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal. Tidak lama kemudian, berlakulah pula peristiwa Taif, di mana baginda telah meghadapi cobaan yang sangat mencabar. Nabi telah dihina, dicerca dan dikecewakan oleh penduduk Taif yang telah menolak usah dakwah baginda.

Bayangkanlah bagaimana remuk redamnya perasaan Nabi ketika itu. Hilang teman hidup yang telah berkorban segala-galanya untuk Nabi dan perjuangan Islam, kemudian dikecewakan, dimalukan dan dicederakan oleh bangsanya sendiri. Baginda keseorangan dalam menghadapi tentangan musyrikin jahiliah.

Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesan gembira untuk mengiringi Nabi untuk israk dan mikraj bertemu Pencipta nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.

Peristiwa Israk Mikraj ini mengandungi banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar. Namun, saya begitu tertarik dengan 2 pengajaran penting daripadanya iaitu

1. Kewajiban solat lima waktu telah dianugerahkan kepada umat Muhammad. Kewajiban solat diwahyukan terus tidak seperti kewajiban ibadat lain seperti zakat dan puasa yang diturunkan sebagai wahyu dan disampaikan melalui Jibril. Itu menunjukkan betapa penting dan istimewanya solat. Kewajiban solat juga adalah hadiah yang paling berharga kepada Nabi untuk merawat segala kesedihan dan kemurungan yang baginda hadapi.

Solatlah sebenarnya jalan penyelesaian kepada segala masalah yang kita hadapi. Andai kita berhadapan masalah yang berat yang tak tertanggung, kekecewaan yang tak terbendung, kebuntuan mencari jalan keluar, keresahan dan kekosongan jiwa, kembalilah kepada Allah. Carilah pengampunanNya dan berbicaralah terus dengan Nya.

Hamburkanlah segala duka lara dan resah gelisah jiwa kepada Yang Maha Pencipta, dalam setiap sujud kita. Jangan disimpan kemarahan kita kepada manusia. Lepaskanlah segala kekecewaan kita itu dan mengadulah kepada Yang Maha Bijaksana.

2. Israk Mikraj juga menguji keimanan kita untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya dalam hal-hal yang di luar jangkauan pemikiran kita. Sahabat Nabi seperti Abu Bakar beriman dan percaya dengan sepenuh hati bahawa Nabi memang telah pergi ke Palestine dan merentasi 7 langit pada satu malam.

Bayangkanlah jikalau perkara yang sama itu disampaikan pada kita sekarang. Adakah kita akan mempercayai dan beriman dengannya sebagaimana Abu Bakar? Atau kita akan mula menggunakan logik akal kita lalu akan menolak kesahihan peristiwa itu dengan alasan tak masuk akal dan tak logik? Kita akan mula mengeluarkan teori sains yang kita tahu yang menafikan manusia boleh merentasi 7 langit hanya dalam satu malam. Mungkinkah jugakah kita akan ketawa sinis dan mempersendakan berita itu sebagai karut?

Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj jika dihayati dengan sesungguhnya, akan mengukuhkan keimanan kita dan memperkuatkan rasa takjub kepada kekuasaan Allah dalam mengatur kehidupan makhluk Nya. Peristiwa Israk Mikraj mengajar untuk percaya kepada perkara ghaib dan percaya kepada Al-Qur’an dan Hadith sebagai panduan dan penyelesai kepada masalah hidup manusia.

No comments:

Post a Comment