Tidak dinafikan ada keadaan tertentu berhutang adalah suatu keperluan, namun yang peliknya ada yang suka berhutang walaupun tidak mempunyai sebarang keperluan.
Tabiat suka berhutang ini barangkali dapat digambarkan menerusi satu laporan www.sabahdaily.com, bahawa perangkaan Bank Negara menunjukkan sebanyak 11 juta kad kredit digunakan di seluruh negara sehingga April 2009 membabitkan had RM105.5 bilion dan dengan purata empat kad seorang, baki tertunggak belum dijelaskan setakat April lalu ialah RM22 bilion.
Maka tidak hairanlah seperti yang dilaporkan bahawa jumlah pemegang kad kredit yang muflis semakin meningkat saban tahun.
Tabiat suka berhutang kerana ingin memenuhi kehendak atau keinginan atau tanpa ada sebarang keperluan adalah satu tabiat yang buruk dalam berhutang dan tabiat ini perlu dibendung.
Berlandaskan dalil-dalil daripada hadis Rasulullah, aktiviti berhutang ini walaupun dibenarkan oleh Islam namun ia adalah suatu aktiviti yang tidak digalakkan. Di antara ayat al-Quran yang paling panjang berkenaan dengan hutang adalah ayat 282 surah al-Baqarah yang menggambarkan amalan hutang ini adalah perkara yang sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh.
Hutang jika tidak diurus dengan baik mungkin enaknya sementara tetapi yang pasti akan menjadi malapetaka di akhirat sebagaimana yang boleh kita fahami daripada ingatan-ingatan Rasulullah SAW berikut.
Nabi SAW bersabda ertinya: Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (riwayat Muslim).
Lebih dahsyat lagi apabila ada di kalangan yang berhutang itu awal-awal lagi memasang niat tidak mahu membayar balik hutang berkenaan.
Sabda Nabi SAW, ertinya: Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya. (riwayat al-Bukhari).
Rasulullah juga selalu berdoa berlindung daripada tabiat buruk dalam berhutang kerana dari tabiat suka berhutang ini akan membawa kepada sifat-sifat tercela yang lain.
Sabda Baginda ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada perbuatan dosa dan mempunyai bebanan hutang. Apabila ditanya kenapa baginda banyak memohon perlindungan kepada Allah dari mempunyai bebanan hutang, Baginda bersabda: "Sesungguhnya seseorang itu jika mempunyai hutang, maka kalau ia berbicara tentu ia suka berdusta dan jika ia berjanji tentu ia tidak menepatinya". (riwayat Bukhari)
Islam memberi amaran supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada kepada tabiat berhutang ini kerana jika tidak dikawal ia boleh memberi kesan yang buruk sama ada kepada individu berkenaan mahupun kepada masyarakat.
Di antara kesan kepada individu sebagaimana yang disebut Al-Qurtubi di dalam kitabnya al-Jaami' li Ahkaam al-Qur'aan akan menyebabkan seseorang itu merasa terhina, berdusta, mungkir janji dan lebih buruk lagi disekat daripada memasuki syurga.
Kesan kepada masyarakat pula ialah wujudnya keinginan kepada kepuasan segera tanpa memikirkan masa hadapan, menghakis rasa kebertanggungjawaban dan lemahnya pengagihan kekayaan.
Dari sudut hukum, hutang pada asalnya adalah harus. Namun status ini boleh berubah mengikut senario.
Hukum berhutang boleh menjadi wajib apabila niat berhutang tersebut untuk memenuhi keperluan asas yang dharuri yang jika tidak berhutang akan menyebabkan lima perkara asas yang dilindungi dalam Islam akan musnah iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.
Walaubagaimanapun, hukum berhutang ini boleh menjadi haram jika tujuan berhutang tersebut untuk perkara yang diharamkan oleh Islam.
Keharusan untuk berhutang dalam Islam bergantung kepada niat. Islam membenarkan berhutang pada keperluan-keperluan hidup yang asasi yang tidak dapat dielakkan. Ini bermakna kalau tiada keperluan maka tidak perlu berhutang.
Bila kita berhutang pada perkara yang tidak perlu dan belum sangat mendesak, sebenarnya kita telah menzalimi diri kita sendiri. (Ustaz Amaluddin Mohd Napiah,www.galeriilmu.com.my)
Berhutang dibenarkan dalam Islam apabila ia menjadi satu keperluan dan bukan kerana keinginan atau kehendak. Untuk menentukan ia suatu keperluan atau kehendak maka memahami aulawiyat (keutamaan) dalam kehidupan adalah sangat penting.
Menurut Al Sheikh Dr. Yusof Al Qardawi memahami aulawiyat itu didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain. Justeru, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan.
Kehidupan manusia dewasa ini semakin mencabar dan keperluan hidup mereka juga semakin kompleks. Memahami dan menentukan keutamaan dalam kehidupan merupakan satu subjek yang sangat penting.
Bijaksana dalam menguruskan keperluan hidup menjadi asas penting seseorang itu akan dapat menikmati kebahagiaan hakiki. Tingkatan keperluan dalam kehidupan seseorang itu berkisar kepada perkara dharuriyyat (sangat perlu), perkara hajiyyat (memudahkan) dan perkara tahsiniyyat (aksesori).
Perkara dharuriyyat adalah perkara yang sangat diperlukan dan jika tiada akan menghancurkan kehidupan. Untuk memahami tahap keperluan tersebut ialah dengan melihat jika perkara itu tidak ada maka adakah ia akan merosakkan lima perkara asas yang dijamin oleh Islam iaitu adakah akan merosakkan agama, menghilangkan nyawa, merosakkan akal, mencemarkan maruah (keturunan) atau memusnahkan harta benda.
Jika tidak sampai ke tahap sedemikian maka ia bukanlah suatu perkara yang sangat perlu.
Perkara hajiyyat adalah sekiranya perkara tersebut ada maka akan memudahkan seperti memiliki kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja. Walaupun tiada kenderaan sendiri masih boleh pergi ke tempat kerja dengan menaiki kenderaan awam tetapi jika mempunyai kenderaan sendiri maka akan lebih memudahkan.
Perkara tahsiniyyat pula lebih berbentuk perkara-perkara yang menjadi nilai tambah yang jika tidak ada tidak akan menghancurkan kehidupan atau menyusahkan. Seperti memiliki tempat tinggal ada satu keperluan dharuri tetapi kediaman yang dihiasi dengan landskap adalah bersifat tahsiniyat yang hanya menambah kecantikan kediaman itu sahaja.
Dengan membuat analisis terhadap tingkatan keperluan dalam hidup akan membantu seseorang itu membuat perancangan kewangan yang betul seterusnya dapat menentukan apakah keutamaan dalam hidupnya.
Beliau akan dapat menentukan apa yang perlu didahulukan, apa yang boleh ditangguhkan, apa yang lebih penting dan sebagainya.
Tip-tip oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) berikut mungkin dapat membantu lebih memahami apakah prinsip yang perlu dipatuhi apabila hendak membuat pinjaman atau berhutang. (www.akpk.org.my)
Anda hanya perlu meminjam untuk sesuatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya.
Sebagai contoh, untuk membeli rumah, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak dan untuk membeli sebuah kereta (akan bincangkan hal ini kemudian).
Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik. Ini mungkin logik tetapi malangnya, ia bukan amalan biasa.
Ramai yang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal.
Namun, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi kesukaran membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta mula dikuatkuasakan.
Elakkan meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai. Ini mungkin akan menyinggung perasaan sesetengah orang tetapi ia adalah prinsip yang baik untuk diikuti. Cuba dapatkan barang-barang ini secara tunai dari simpanan anda daripada meminjam. Jika tidak, jangan beli.
Dewasa ini instrumen berhutang terbuka luas dan banyak ditawarkan dalam pasaran sama ada oleh institusi kewangan yang sah seperti bank mahupun oleh institusi yang tidak sah seperti 'ah long'.
Secara umumnya masyarakat hari ini banyak berhutang menerusi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan perumahan. Perlu disedari seluruh jenis pinjaman sama ada menerusi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan perumahan yang dilakukan secara konvensional adalah diharamkan oleh Islam sebagaimana yang disepakati oleh seluruh ulama.
Oleh itu, jika seseorang perlu berhutang maka hendaklah dia memastikan kaedah berhutang tersebut mengikut cara yang dibenarkan oleh Islam iaitu sama ada secara qard hasan (pinjaman tanpa faedah) atau menerusi fasiliti pembiayaan kewangan secara Islam yang berlandaskan jual beli yang sah yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan Islam.
Hutang adalah satu kewajipan yang perlu dilangsaikan. Walaupun tidak dituntut, membayar hutang adalah wajib dan jangan menangguh-nangguhkan pembayaran balik hutang.
No comments:
Post a Comment