Tazkirah

Friday, November 27, 2009

Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha

Solat sunat Aidil Adha hukumnya sunat muakkad (sunat yang dituntut)

Panduan ringkas:

(1) Takbiratul ihram /Niat solat:

Lafaz niat. "Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat kerana Allah Taala" (untuk solat seorang diri).

"Sahaja aku solat sunat Aidil adha dua rakaat makmum kerana Allah Taala" (jika ikut imam).

"Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat jadi imam kerana Allah Taala" (jika jadi imam).

Niat ini hendaklah dilakukan semasa takbiratul ihram iaitu sekadar lintasan di hati lafaz tersebut. Untuk memudahkan niat , sebelum takbitratul ihram kita hendaklah membuat lintasan terlebih dahulu di dalam hati akan lafaz niat itu.

(2) Membaca doa iftitah.

(3) Kemudian takbir 7 kali yang diselangselikan dengan tasbih sebanyak 6 kali.


(4) Membaca fatihah dan surah al-Akla.

(5) Rukuk dan sujud seperti biasa.

(6) Iktidal dan berdiri betul (rakaat kedua) takbir 5 kali yang diselangselikan dengan tasbih 4 kali.

(7) Membaca fatihah dan surah al-Ghasyiyah.

(8) Rukuk, sujud dan membaca tahiyat akhir seperti biasa.

(9) Memberi salam.

(10) Disunatkan takbir dan doa,

(11) Membaca dua Khutbah. (sekiranya bersolat secara berjamaah)


Peringatan:

(a) Kalau imam telah berhenti takbir/bertasbih makmum hendaklah berhenti, begitu juga kalau imam terlebih takbir, makmum tidak perlu ikut sebaliknya menunggu.

(b)Takbir Hari Raya Aidil Adha disunatkan mulai malam hari raya (10hb. Zulhijjah) sehinggalah selepas solat Asar (13hb. Zulhijjah).

(c) Bacaan surah al.Akla dan al.Ghasyiyah boleh diganti dengan surah lain, sekiranya tidak menghafaz ayat tersebut. (tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua )

(d) Orang yang terpaksa bertugas pada hari raya , disyorkan melaksanakan ibadat ini secara bersendirian, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja kerana ibadat ini hanya dapat dilakukan setahun dua kali sahaja. (Aidil Fitri dan Aidil Adha)

http://www.leewantam.com

Saturday, November 21, 2009

Hutang: Keperluan atau pelengkap

BERHUTANG memang seronok dan mudah untuk melakukannya tetapi jika ia tidak dilakukan dengan cara yang betul kesannya boleh membawa derita sepanjang hidup.

Tidak dinafikan ada keadaan tertentu berhutang adalah suatu keperluan, namun yang peliknya ada yang suka berhutang walaupun tidak mempunyai sebarang keperluan.

Tabiat suka berhutang ini barangkali dapat digambarkan menerusi satu laporan www.sabahdaily.com, bahawa perangkaan Bank Negara menunjukkan sebanyak 11 juta kad kredit digunakan di seluruh negara sehingga April 2009 membabitkan had RM105.5 bilion dan dengan purata empat kad seorang, baki tertunggak belum dijelaskan setakat April lalu ialah RM22 bilion.

Maka tidak hairanlah seperti yang dilaporkan bahawa jumlah pemegang kad kredit yang muflis semakin meningkat saban tahun.

Tabiat suka berhutang kerana ingin memenuhi kehendak atau keinginan atau tanpa ada sebarang keperluan adalah satu tabiat yang buruk dalam berhutang dan tabiat ini perlu dibendung.

Berlandaskan dalil-dalil daripada hadis Rasulullah, aktiviti berhutang ini walaupun dibenarkan oleh Islam namun ia adalah suatu aktiviti yang tidak digalakkan. Di antara ayat al-Quran yang paling panjang berkenaan dengan hutang adalah ayat 282 surah al-Baqarah yang menggambarkan amalan hutang ini adalah perkara yang sangat penting dan tidak boleh dipandang remeh.

Hutang jika tidak diurus dengan baik mungkin enaknya sementara tetapi yang pasti akan menjadi malapetaka di akhirat sebagaimana yang boleh kita fahami daripada ingatan-ingatan Rasulullah SAW berikut.

Nabi SAW bersabda ertinya: Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (riwayat Muslim).

Lebih dahsyat lagi apabila ada di kalangan yang berhutang itu awal-awal lagi memasang niat tidak mahu membayar balik hutang berkenaan.

Sabda Nabi SAW, ertinya: Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya. (riwayat al-Bukhari).

Rasulullah juga selalu berdoa berlindung daripada tabiat buruk dalam berhutang kerana dari tabiat suka berhutang ini akan membawa kepada sifat-sifat tercela yang lain.

Sabda Baginda ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada perbuatan dosa dan mempunyai bebanan hutang. Apabila ditanya kenapa baginda banyak memohon perlindungan kepada Allah dari mempunyai bebanan hutang, Baginda bersabda: "Sesungguhnya seseorang itu jika mempunyai hutang, maka kalau ia berbicara tentu ia suka berdusta dan jika ia berjanji tentu ia tidak menepatinya". (riwayat Bukhari)

Islam memberi amaran supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada kepada tabiat berhutang ini kerana jika tidak dikawal ia boleh memberi kesan yang buruk sama ada kepada individu berkenaan mahupun kepada masyarakat.

Di antara kesan kepada individu sebagaimana yang disebut Al-Qurtubi di dalam kitabnya al-Jaami' li Ahkaam al-Qur'aan akan menyebabkan seseorang itu merasa terhina, berdusta, mungkir janji dan lebih buruk lagi disekat daripada memasuki syurga.

Kesan kepada masyarakat pula ialah wujudnya keinginan kepada kepuasan segera tanpa memikirkan masa hadapan, menghakis rasa kebertanggungjawaban dan lemahnya pengagihan kekayaan.

Dari sudut hukum, hutang pada asalnya adalah harus. Namun status ini boleh berubah mengikut senario.

Hukum berhutang boleh menjadi wajib apabila niat berhutang tersebut untuk memenuhi keperluan asas yang dharuri yang jika tidak berhutang akan menyebabkan lima perkara asas yang dilindungi dalam Islam akan musnah iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.

Walaubagaimanapun, hukum berhutang ini boleh menjadi haram jika tujuan berhutang tersebut untuk perkara yang diharamkan oleh Islam.

Keharusan untuk berhutang dalam Islam bergantung kepada niat. Islam membenarkan berhutang pada keperluan-keperluan hidup yang asasi yang tidak dapat dielakkan. Ini bermakna kalau tiada keperluan maka tidak perlu berhutang.

Bila kita berhutang pada perkara yang tidak perlu dan belum sangat mendesak, sebenarnya kita telah menzalimi diri kita sendiri. (Ustaz Amaluddin Mohd Napiah,www.galeriilmu.com.my)

Berhutang dibenarkan dalam Islam apabila ia menjadi satu keperluan dan bukan kerana keinginan atau kehendak. Untuk menentukan ia suatu keperluan atau kehendak maka memahami aulawiyat (keutamaan) dalam kehidupan adalah sangat penting.

Menurut Al Sheikh Dr. Yusof Al Qardawi memahami aulawiyat itu didasarkan kepada prinsip mengutamakan suatu perkara ke atas suatu perkara yang lain. Justeru, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan.

Kehidupan manusia dewasa ini semakin mencabar dan keperluan hidup mereka juga semakin kompleks. Memahami dan menentukan keutamaan dalam kehidupan merupakan satu subjek yang sangat penting.

Bijaksana dalam menguruskan keperluan hidup menjadi asas penting seseorang itu akan dapat menikmati kebahagiaan hakiki. Tingkatan keperluan dalam kehidupan seseorang itu berkisar kepada perkara dharuriyyat (sangat perlu), perkara hajiyyat (memudahkan) dan perkara tahsiniyyat (aksesori).

Perkara dharuriyyat adalah perkara yang sangat diperlukan dan jika tiada akan menghancurkan kehidupan. Untuk memahami tahap keperluan tersebut ialah dengan melihat jika perkara itu tidak ada maka adakah ia akan merosakkan lima perkara asas yang dijamin oleh Islam iaitu adakah akan merosakkan agama, menghilangkan nyawa, merosakkan akal, mencemarkan maruah (keturunan) atau memusnahkan harta benda.

Jika tidak sampai ke tahap sedemikian maka ia bukanlah suatu perkara yang sangat perlu.

Perkara hajiyyat adalah sekiranya perkara tersebut ada maka akan memudahkan seperti memiliki kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja. Walaupun tiada kenderaan sendiri masih boleh pergi ke tempat kerja dengan menaiki kenderaan awam tetapi jika mempunyai kenderaan sendiri maka akan lebih memudahkan.

Perkara tahsiniyyat pula lebih berbentuk perkara-perkara yang menjadi nilai tambah yang jika tidak ada tidak akan menghancurkan kehidupan atau menyusahkan. Seperti memiliki tempat tinggal ada satu keperluan dharuri tetapi kediaman yang dihiasi dengan landskap adalah bersifat tahsiniyat yang hanya menambah kecantikan kediaman itu sahaja.

Dengan membuat analisis terhadap tingkatan keperluan dalam hidup akan membantu seseorang itu membuat perancangan kewangan yang betul seterusnya dapat menentukan apakah keutamaan dalam hidupnya.

Beliau akan dapat menentukan apa yang perlu didahulukan, apa yang boleh ditangguhkan, apa yang lebih penting dan sebagainya.

Tip-tip oleh Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) berikut mungkin dapat membantu lebih memahami apakah prinsip yang perlu dipatuhi apabila hendak membuat pinjaman atau berhutang. (www.akpk.org.my)

Anda hanya perlu meminjam untuk sesuatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai duit tunai untuk membayarnya.

Sebagai contoh, untuk membeli rumah, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak dan untuk membeli sebuah kereta (akan bincangkan hal ini kemudian).

Meminjam sejumlah duit di dalam kemampuan anda untuk membayar balik. Ini mungkin logik tetapi malangnya, ia bukan amalan biasa.

Ramai yang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal.

Namun, bila tiba masanya, mereka ini akan menghadapi kesukaran membuat bayaran balik dan perampasan kereta dan harta mula dikuatkuasakan.

Elakkan meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai. Ini mungkin akan menyinggung perasaan sesetengah orang tetapi ia adalah prinsip yang baik untuk diikuti. Cuba dapatkan barang-barang ini secara tunai dari simpanan anda daripada meminjam. Jika tidak, jangan beli.

Dewasa ini instrumen berhutang terbuka luas dan banyak ditawarkan dalam pasaran sama ada oleh institusi kewangan yang sah seperti bank mahupun oleh institusi yang tidak sah seperti 'ah long'.

Secara umumnya masyarakat hari ini banyak berhutang menerusi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan perumahan. Perlu disedari seluruh jenis pinjaman sama ada menerusi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan perumahan yang dilakukan secara konvensional adalah diharamkan oleh Islam sebagaimana yang disepakati oleh seluruh ulama.

Oleh itu, jika seseorang perlu berhutang maka hendaklah dia memastikan kaedah berhutang tersebut mengikut cara yang dibenarkan oleh Islam iaitu sama ada secara qard hasan (pinjaman tanpa faedah) atau menerusi fasiliti pembiayaan kewangan secara Islam yang berlandaskan jual beli yang sah yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan Islam.

Hutang adalah satu kewajipan yang perlu dilangsaikan. Walaupun tidak dituntut, membayar hutang adalah wajib dan jangan menangguh-nangguhkan pembayaran balik hutang.

Friday, November 13, 2009

Pengurusan kewangan Islam

PENGURUSAN dan perancangan adalah suatu yang amat mustahak dalam semua urusan kehidupan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan harta atau kewangan. Kegagalan mengurus dan merancang sebenarnya seseorang itu mengurus dan merancang untuk kegagalan. Kegagalan merancang harta atau kewangan dengan bijak dikenal pasti antara punca mudahnya seseorang itu terperangkap dengan pelbagai masalah dalam kehidupan.

Seseorang yang mempunyai perancangan dalam menguruskan kewangannya akan memperoleh gambaran yang jelas tentang kedudukan kewangan terkininya, memberi hala tuju yang tepat mengenai matlamat kewangan yang ingin dicapai yang akhirnya akan membolehkan seseorang itu mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.

Islam sebagai agama yang sempurna mengajar umatnya agar sentiasa mempunyai perancangan dalam menguruskan hal ehwal kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat menerusi al Quran dan sunnah. Antaranya firman Allah dalam surah Yusuf ayat 67.

Pengajaran daripada ayat di atas antara lain ia menyentuh tentang persoalan perancangan di mana Allah menjelaskan bahawa dalam menguruskan kehidupan jangan bergantung kepada satu pendekatan semata-mata tetapi perlulah mempelbagaikan pendekatan dan strategi. Dan setelah segala persiapan dan perancangan dilakukan maka hendaklah bertawakal kepada Allah.

Ayat 47-48 di dalam surah yang sama Allah menegaskan pentingnya perancangan sebelum menghadapi atau melakukan sesuatu malah perlu bijak dalam menguruskan kehidupan agar tidak susah di kemudian hari.

Di dalam ayat 9, surah al-Nisa' juga Allah tegaskan perkara yang sama bahawa perlunya mempunyai perancangan untuk masa depan keluarga dan hendaklah bijaksana dalam menguruskan harta/kewangan. Sebagaimana dalam surah al Hasyr ayat 18.

Ayat ini cukup jelas menyentuh tentang kepentingan perancangan dalam kehidupan, kerana masa depan bergantung kepada perancangan kita hari ini selain daripada ketentuan Allah.

Harta dalam Islam

Dalam Islam mengurus dan membelanjakan harta adalah antara amanah Allah. Ia adalah satu keperluan yang bertujuan mencapai kehidupan yang diberkati. Perspektif yang tepat terhadap harta akan memastikan seseorang itu mencapai bahagia di dunia dan di akhirat menerusi hartanya.

Harta mempunyai kedudukan yang sangat mulia di sisi Islam. Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Dari kaca mata Islam, harta adalah alat untuk menjamin keselesaan hidup manusia di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ia juga merupakan wasilah untuk mencapai takwa. Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9.

Di samping mengajar manusia agar mempunyai perspektif yang jelas terhadap harta, Islam juga mengajar manusia agar mempunyai pandangan yang betul terhadap kehidupan. Hal ini penting bagi memastikan kehidupan mereka bermatlamat dan arah tuju yang jelas.

Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ini dijelaskan dalam surah Hud ayat 61.

Islam juga menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat".

Di dalam ajaran Islam, dunia adalah tempat sementara yang hanya sebagai jambatan untuk ke akhirat, dunia sebagai tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk menuainya. Walaupun dunia bersifat sementara, Islam dengan pelbagai kaedah dan pendekatan mengajar umat manusia supaya mempunyai status sosial dan ekonomi yang baik.

Oleh itu, Islam memerintahkan supaya harta dan kehidupan diuruskan dengan baik dan bijaksana. Jika sebaliknya ia akan menjadi faktor keruntuhan manusia dan kemurkaan Allah seperti dalam surah Saba' ayat 15 - 16 dan surah al-Nisaa' ayat 10 dan 161.

Konsep pengurusan harta

Secara umumnya ada lima aspek atau elemen utama pengurusan harta secara Islam. Pertama, Penghasilan Harta (Wealth Creation). Sebagai seorang Muslim yang sejati, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan tidak hanya pasrah pada qada' dan qadar seperti di dalam surah al-Juma'ah ayat 10.

Kedua, Pengumpulan Harta (Wealth Accumulation) atau dengan erti yang lain bermaksud pengembangan harta. Adalah tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya. Pengembangan harta boleh dilakukan melalui simpanan dan pelaburan di institusi kewangan.

Malah Islam menggalakkan umatnya untuk membuat simpanan serta melaburkannya sebagaimana dalam surah Yussuf ayat 47-48.

Ketiga, Perlindungan Harta (Wealth Protection). Setiap manusia harus mempunyai matlamat dalam kehidupan dan pasti salah satu daripadanya ialah untuk dapat kehidupan yang selesa dan terjamin dari segi kewangan sepanjang hidup. Sebagai jaminan hidup di dunia ini selain mempunyai simpanan dan harta yang mencukupi, diri kita dan harta kita juga harus dijaga daripada sebarang musibah dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Keempat, Pengagihan Harta (Wealth Distribution). Islam memperuntukan beberapa cara atau kaedah untuk pengagihan harta sebelum atau selepas mati. Antara instrumen perancangan harta adalah wakaf, wasiat, hibah dan sebagainya.

Kelima, Penyucian Harta (Wealth Cleansing). Sebagai seorang Muslim kita tidak sewenang-wenang membelanjakan atau mempergunakan mengikut kehendak dan hawa nafsu. Ini kerana setiap harta ada hak-hak yang tertentu untuk dibahagikan seperti berzakat dan amal jariah kita seperti sedekah. Ini terbukti dalam surah al-Baqarah ayat 195.

Pengurusan kewangan Islam

Pengurusan kewangan yang bijak itu adalah yang dapat mengimbangi perbelanjaan dan pengurusan hutang, pelaburan yang mengikut syariah dan pendapatan yang mendapat keberkatan. Perlu diingatkan bahawa merancang dan mengurus ini merupakan sunnah.

Dari sudut semasa, industri perancangan kewangan telah lama wujud di Malaysia tetapi bukan dalam bentuk satu disiplin profesional seperti yang ada sekarang. Diperakui oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) sejak tahun 2004 apabila SC menjadikan perancangan kewangan sebagai satu aktiviti yang memerlukan lesen.

Perancangan kewangan adalah satu aktiviti yang dikawalselia oleh undang-undang. Individu yang ingin menjadi "Perancang Kewangan Bertauliah" perlu mendapat lesen daripada SC (Jadual 2, Capital Markets and Services Act 2007).

Secara lebih mendalam, perancangan kewangan itu merujuk kepada 'Perancang Kewangan' sebagai "seseorang yang membuat analisis kedudukan kewangan individu lain dan mencadangkan perancangan pelan kewangan agar individu berkenaan mencapai matlamat dan objektif kewangannya." (Suruhanjaya Sekuriti).

Secara ringkas, perancangan kewangan Islam itu ialah "satu proses di mana matlamat kewangan keseluruhan individu digunakan untuk membangun dan melaksanakan pelan yang holistik untuk mencapai matlamatnya yang mematuhi syariah dan akhirnya mendapat keberkatan daripada Allah" (Mahadzir Ahmad, majalah VISI, Bilangan 95)

Perancangan kewangan yang didasarkan kepada Islam matlamat akhirnya menjadikan aspek kewangan sebagai satu wasilah mencapai hasanah di dunia dan di akhirat. Justeru, untuk memastikan matlamat ini dapat dicapai maka pelan perancangan perlu mengambil kira perbelanjaan untuk kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani, perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti nafkah, sedekah dan juga perbelanjaan untuk kemaslahatan umum seperti membina masjid, hospital dan sebagainya.

Secara yang lebih sistematik perancangan kewangan dari perspektif Islam perlu mengambil kira komponen-komponen berikut; pengurusan kredit dan aliran tunai, pengurusan risiko dan perancangan takaful, perancangan pelaburan Islam, perancangan zakat dan cukai , perancangan persaraan dan perancangan harta pusaka dan wakaf.

Secara umumnya, ada dua aspek utama yang dititikberatkan oleh Islam dalam hal-hal yang bersangkutan dengan pengurusan harta, iaitu bagaimana harta itu diperoleh. Ia mestilah menerusi kaedah pemilikan yang sah dan jual beli, pelaburan secara Islam, hadiah dan sebagainya.

Aspek kedua adalah bagaimana harta itu dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun untuk perkara-perkara yang dilarang Allah. Perkara ini dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?"

Oleh itu, aspek utama yang perlu diambil kira di dalam perancangan kewangan Islam adalah memperoleh keberkatan. Harta yang melimpah ruah tidak membawa apa-apa erti jika tidak ada padanya keberkatan, malah harta boleh menjadi fitnah, boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Keberkatan

Sebaliknya, harta yang berkat walaupun sedikit akan membawa ketenangan dan memberikan kesan yang baik dalam segenap kehidupan.

Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah SWT. Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah.

Namun keberkatan boleh hilang jika melakukan perkara yang menyalahi apa yang digariskan oleh Allah SWT seperti terlibat dengan riba dan melakukan dosa serta mengabaikan solat.

Kesimpulannya, untuk menikmati kehidupan yang selesa dan bahagia kita perlulah mempunyai perancangan kewangan yang sempurna.

Saturday, November 7, 2009

Tanda-tanda kiamat

Soalan:

Kebelakangan ini kita lihat bermacam-macam bencana berlaku, seperti gerak gempa, tanah runtuh, wabak penyakit berjangkit, jenayah kekerasan (termasuk pembunuhan, rogol, sumbang mahram dan lain-lain).

Adakah bencana yang berlaku ini akibat perbuatan mereka atau sejauh mana ia berkaitan dengan hari kiamat.

Jawapan:

Kalau kita masih ingat lagi dalam peristiwa Israk dan Mikraj ketika Rasulullah SAW dibawa menaiki kenderaan yang bernama Buraq yang terpantas sepantas kilat baginda menoleh dan melihat bumi tempat tinggal manusia dan segala makhluk yang lain seumpama seorang wanita tua.

Tasybih (disamakan) bumi dengan seorang wanita tua ada kaitannya dengan usia bumi. Ditasybihkan agar manusia segera dan pantas memahami kehendak Allah melalui lisan baginda Rasulullah SAW.

Semoga dengan demikian manusia hendaklah mengambil iktibar dan pengajaran serta langkah-langkah yang sewajarnya dalam menjaga dan memelihara alam tabie yang menjadi amanah kepada manusia.

Maksudnya bumi diumpakan seperti wanita tua, dari sudut biologinya wanita tua kebiasaannya semestinya uzur. Bila uzur ada kaitan dengan keaktifan seseorang, yang pastinya yang muda tidak sama dengan yang atau dari segi kudrat dan tenaga, apatah lagi dari segi kesihatannya.

Bermula dengan tsunami dari tahun 2004 yang meragut jutaan nyawa manusia hinggalah yang terakhir gempa bumi di Padang dan banyak lagi.

Ditambah suhu panas yang semakin meningkat, atmosfera dan ozon yang semakin menipis sehingga suhu semakin membahang dari hari ke sehari.

Walaupun sebahagian kerosakan berpunca dari tangan-tangan manusia seperti firman Allah SWT yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41)

Punca kerosakan di daratan dan lautan adalah kerana ketamakan manusia merakusi bumi Allah SWT atas alasan pembangunan dan pemodenan kawasan. Maka berlakulah banjir kilat di beberapa tempat, tapi manusia tidak belajar.

Kebanyakan perkara yang dinyatakan telah pun berlaku dan ada yang masih berlaku, antaranya adalah tanda-tanda kiamat kecil.

Tanda-tanda kiamat

Tanda-tanda kiamat ada dua: tanda-tanda kiamat besar dan tanda-tanda kiamat kecil.

Tanda kiamat kecil adalah tanda yang datang sebelum kiamat dengan waktu yang relatif lama, dan kejadiannya biasa, seperti dicabutnya ilmu, dominannya kebodohan, minum khamr, berlumba-lumba dalam membangun, dan lain-lain. Terkadang sebahagiannya muncul menyertai tanda kiamat besar atau bahkan sesudahnya.

Tanda kiamat besar adalah perkara besar yang muncul mendekati kiamat yang kemunculannya tidak biasa terjadi, seperti muncul Dajjal, Nabi Isa a.s., Yakjuj dan Makjuj, terbit matahari dari Barat, dan lain-lain.

Para ulama berbeza pendapat tentang permulaan yang muncul dari tanda kiamat besar. Tetapi Ibnu Hajar berkata, "Yang kuat dari sejumlah berita tanda-tanda kiamat, bahawa keluarnya Dajjal adalah awal dari tanda-tanda kiamat besar, dengan terjadinya perubahan secara menyeluruh di muka bumi. Dan diakhiri dengan wafatnya Isa a.s.

"Sedangkan terbitnya matahari dari Barat adalah awal dari tanda-tanda kiamat besar yang mengakibatkan perubahan keadaan langit. Dan berakhir dengan terjadinya kiamat".

Ibnu Hajar melanjutkan, "Hikmah dari kejadian ini bahwa ketika terbit matahari dari barat, maka tertutuplah pintu taubat".

Di antara tanda-tanda kiamat kecil adalah:

1. Diutusnya Rasulullah SAW

Jabir r.a. berkata, "Adalah Rasulullah SAW jika beliau menyampaikan khutbah matanya merah, suaranya keras, dan penuh semangat seperti panglima perang, beliau bersabda, "(Hati-hatilah) dengan pagi dan petang kalian". Beliau melanjutkan, Aku diutus dan hari Kiamat seperti ini. Rasulullah SAW mengibaratkan seperti dua jarinya antara telunjuk dan jari tengah (kiamat sangat hampir). (riwayat Muslim)

2. Disia-siakan amanah

Jabir r.a. berkata, tatkala Nabi saw. berada dalam suatu majlis sedang berbicara dengan para sahabat, maka datanglah orang Arab Badwi dan berkata, "bilakah masanya akan terjadi kiamat?" Rasulullah SAW terus melanjutkan bicaranya. Sebahagian sahabat berkata, "Rasulullah mendengar apa yang ditanyakan tetapi tidak menyukai apa yang ditanyakannya".

Berkata sebagian yang lain, "Rasulullah tidak mendengar". Setelah Rasulullah menyelesaikan bicaranya, baginda bertanya: "Mana yang bertanya tentang kiamat tadi?" Berkata lelaki Badwi itu, "Saya, wahai Rasulullah". Rasulullah SAW berkata, "Jika amanah disia-siakan, maka tunggulah kiamat". Lelaki itu bertanya lagi, "Bagaimana menyia-nyiakannya?" Rasulullah menjawab, "Jika urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat". (riwayat Bukhari)

3. Penggembala menjadi kaya

Rasulullah ditanya oleh Jibril tentang tanda-tanda kiamat, lalu beliau menjawab: "Seorang budak melahirkan majikannya, dan engkau melihat orang-orang yang tidak beralas kaki, telanjang, dan miskin, penggembala binatang berlumba-lumba saling tinggi dalam bangunan. (riwayat Muslim).

6. Banyak terjadi pembunuhan

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tidak akan terjadi kiamat, sehingga banyak terjadi haraj.. Sahabat bertanya apa itu haraj, ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "haraj adalah pembunuhan, pembunuhan". (riwayat Muslim).

7. Munculnya kaum Khawarij

Dari Ali ra. berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, Akan keluar di akhir zaman kelompok orang yang masih muda, bodoh, mereka mengatakan sesuatu dari firman Allah. Keimanan mereka hanya sampai di kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama seperti anak panah keluar dari busurnya. Di mana saja kamu jumpai, maka bunuhlah mereka. Siapa yang membunuhnya akan mendapat pahala di hari kiamat. (riwayat Bukhari).

9. Perang antara Yahudi dan Umat Islam

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak akan terjadi kiamat sehingga kaum muslimin berperang dengan yahudi. Maka kaum muslimin membunuh mereka sampai ada orang yahudi bersembunyi di belakang batu-batuan dan pohon-pohonan. Dan berkatalah batu dan pohon, "Wahai muslim, wahai hamba Allah, ini yahudi di belakangku, kemari dan bunuhlah ia". Kecuali pohon Gharqad kerana ia adalah pohon Yahudi. (riwayat Muslim).

11. Sedikitnya ilmu

12. Merebaknya perzinaan

13. Banyaknya kaum wanita

Dari Anas bin Malik ra. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya di antara tanda-tanda kiamat adalah ilmu diangkat, banyaknya kejahilan, banyaknya perzinaan, banyaknya orang yang minum khamr (arak), sedikit kaum lelaki dan banyak kaum wanita, sampai nisbah bagi 50 wanita seorang lelaki. (riwayat Bukhari)

14. Bermewah-mewah dalam membangun masjid.

15. Berleluasnya riba dan harta haram

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah bersabda, "Akan datang pada manusia suatu waktu, setiap orang tanpa kecuali akan makan riba, orang yang tidak makan langsung, pasti terkena debu-debunya". (riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah bersabda, Akan datang pada manusia suatu saat di mana seseorang tidak peduli dari mana hartanya didapati, apakah dari yang halal atau yang haram. (riwayat Bukhari dan Ahmad)