Tazkirah

Monday, September 7, 2009

Aura Ramadan suburkan sedekah


bubur lambuk Kampung Baru, Kuala Lumpur diadakan hasil sedekah orang ramai.


MENJELANG Ramadan, maka antara perkara yang sering diingati oleh umat Islam ialah amalan sedekah dan zakat. Sebenarnya, zakat juga adalah sedekah; namun ia adalah sedekah yang wajib. Misalnya Allah SWT menyatakan: "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah" (at-Taubah: 103), maka makna 'sedekah' di sini adalah zakat. Begitu juga apabila Allah SWT menyatakan: "Sesungguhnya sedekah itu adalah untuk fakir, miskin, amil, muallaf…" (at-Taubah: 60), maka sekali lagi, 'sedekah' yang dimaksudkan oleh Allah SWT di sini ialah zakat.

Oleh itu, kita dapat membahagikan amalan sedekah di bulan Ramadan ini kepada dua, iaitu sedekah sunat dan sedekah wajib (zakat). Sedekah sunat memang sudah menjadi sesuatu yang sebati, khususnya di dalam jati diri masyarakat Melayu-Islam.

Misalnya, jika di kampung-kampung, amalan memberi sedekah walaupun sepiring kuih atau pengat pisang, memang diamalkan sejak turun-temurun. Natijahnya, apabila jiran saling bertukar juadah, maka makin suburlah ukhuwah. Inilah hebatnya aura sedekah.

Namun begitu, arus pemodenan semakin menghakis budaya atau amalan saling bertukar juadah yang berupa sedekah ini. Masyarakat Melayu-Islam yang tinggal di bandar besar, makin sibuk untuk menghulurkan walau sepiring cekodok pisang kepada jiran di sebelah pagar atau jiran yang berkongsi dinding dengannya.

Sedangkan, mereka tinggal di rumah teres atau apartmen, yang masing-masing berkongsi dinding, lantai bahkan bumbung. Maka, inilah cabaran kehidupan moden dalam mengekalkan tradisi bersedekah khususnya di bulan Ramadan.

Di samping itu, kita juga seharusnya merebut pahala yang lebih besar dan utama sepanjang Ramadan ini dengan memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa.

Ironinya, senario ini lebih subur di kawasan bandar dan ia agak asing jika di kampung. Agaknya, inilah pula kelebihan di bandar besar. Pengalaman penulis sendiri saat belajar sehingga berkerja di Kuala Lumpur, sempat beberapa kali berbuka puasa secara percuma di beberapa buah masjid beramai-ramai dan ia amat meriah.

Masjid-masjid ini pasti telah mendapat tajaan daripada individu mahu pun syarikat umat Islam yang pemurah, sehingga mereka mampu menyediakan makanan kepada umat Islam dalam jumlah yang besar setiap hari.

Dalam menegaskan hal keutamaan memberi makan orang berbuka puasa ini, Nabi Muhammad SAW sendiri menyatakan: "Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka dia akan beroleh pahala seperti mana pahala orang yang berpuasa itu tanpa pahala orang itu dikurangi sedikit pun," (riwayat Ahmad, an-Nasai, Termizi, Ibn Majah dan Darimi dan disahihkan oleh al-Albani)

Namun, bagaimana pula dengan amalan moreh, iaitu memberi makan kepada umat Islam di masjid dan surau setelah mereka mendirikan solat Tarawih? Sebenarnya, amalan ini bukanlah sesuatu yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah SAW.

Tradisi orang Melayu

Tiada satu pun hadis yang menunjukkan nabi dan para sahabatnya makan beramai-ramai atau nabi menganjurkan agar diberi makan kepada orang yang sudah bertarawih. Bahkan, amalan ini lebih merupakan tradisi orang Melayu di negara ini sahaja. Ia tidaklah dijadikan amalan lazim walau di negara-negara Arab sendiri.

Namun, kita mungkin boleh mengambil sudut pandangan yang positif dalam hal moreh ini. Sesungguhnya, majlis moreh ini adalah tradisi yang sekian lama telah diamalkan di kampung-kampung.

Bahkan jika di kampung, masjid atau surau telah menyediakan satu jadual khas yang tertera seluruh nama ketua rumah di kampung berkenaan dan juga tarikh mereka perlu membawa juadah ke masjid atau surau sebagai moreh. Maka, dari satu sudut mungkin tradisi ini sesuai diamalkan di kampung, justeru amalan menjamu orang berbuka puasa adalah amat jarang dilakukan.

Dari satu aspek lain, dengan adanya juadah yang dinamakan moreh ini, ia menjadi 'umpan' bagi menarik anak-anak remaja dan orang-orang muda agar lekat di masjid sehinggalah tamat 23 rakaat solat tarawih dan witir.

Bahkan, amalan moreh ini juga mampu mendekatkan ukhuwah di kalangan penduduk kampung. Namun, janganlah sampai jamuan moreh ini membazir pula, maklumlah masing-masing sudah kekenyangan waktu berbuka puasa.

Di samping itu, moreh juga sepatutnya tidak membebankan umat Islam, memandangkan ia bukanlah suatu sunnah yang menjadi keutamaan di bulan puasa.

Timbul persoalan, kenapakah umat Islam menjadi begitu pemurah pada bulan Ramadan? Ada orang yang kedekutnya bukan main pada bulan-bulan lain, namun menjadi pemurah pula di bulan Ramadan.

Malah ada yang begitu mudah melakukan amal kebaikan termasuklah bersedekah. Setiap hari tidak lokek menghantar pisang ke masjid atau menaja bubur lambuk.

Bagi menjawab soalan ini, bukankah Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan akan dirantai semuanya." (riwayat Bukhari, Muslim, Nasai, Ahmad dan Baihaqi)

Hadis ini hakikatnya adalah suatu simbolik, bahawa sepanjang Ramadan manusia secara alaminya akan terdorong menjadi baik. Sebab itulah kita mampu melihat ada orang yang malas solat sebelum Ramadan, namun berubah menjadi rajin bahkan tidak meninggalkan solat tarawih.

Ada muslimah yang tidak menjaga aurat pun akan mengenakan busana yang lebih sopan sepanjang Ramadan. Bahkan ada kaki rokok akan menjadikan Ramadan sebagai detik awal bagi mereka menghentikan tabiat merokok. Kerana apa? Ya, kerana aura Ramadan yang mulia dan begitu kuat telah mendorong kita agar menjadi lebih lunak mentaati Allah SWT, termasuklah dalam bab bersedekah ini.

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sebaik-baik sedekah adalah pada bulan Ramadan" (riwayat Termizi)

Kehebatan sedekah Ramadan

Kemudian, mari kita telusuri lagi kehebatan amalan bersedekah di bulan Ramadan ini. Di dalam kitab Mustika Hadith, ada dicatatkan sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW ada menyatakan: "Sesiapa mendekatkan dirinya (kepada Allah pada bulan Ramadan) dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain." (riwayat Ibn Khuzaimah)

Hakikatnya, hadis ini adalah suatu motivasi paling hebat yang mampu mendorong kita untuk meningkatkan amalan bersedekah sepanjang Ramadan. Bayangkan, jika kita memberikan derma ke tabung masjid sebanyak RM1,000, maka ia akan diberikan pahala seolah-olah kita sudah berzakat RM1,000.

Tetapi, jika kita benar-benar menunaikan zakat RM1,000, maka di sisi Allah SWT kita seolah-olah sudah menunaikan zakat sebanyak RM70,000. Amat besar ganjarannya di sisi Allah dan sudah pasti kita tidak patut melepaskan peluang keemasan ini.

Sehubungan dengan itu, maka tepatlah Ramadan ini menjadi sebuah sekolah tarbiah rohani yang terbaik buat kita, yang disediakan oleh Allah SWT.

Ini kerana, pada bulan inilah kita benar-benar menghayati pelbagai amalan sunat khususnya dalam bab meraikan sedekah dan zakat.

Mudah-mudahan, setelah 30 hari dilentur nafsu kita dan 30 malam dicanai rohani kita melalui qiyamullail, maka kita akan benar-benar menjadi hamba Allah yang bertakwa.

Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Maka sesiapa yang berpuasa (di siang hari) dan malamnya mendirikan qiam dengan penuh keimanan dan kebersihan hati (ihtisabaan), maka akan dihapuskan dosa mereka seperti mana pada hari mereka diperanakkan." (riwayat Ahmad dan an-Nasai). Wallahua'lam.

Friday, September 4, 2009

Afdal lewatkan bersahur

SOALAN:
Apabila tiba Ramadan, selalu orang sebut bersahur. Apa maksud bersahur?

JAWAPAN:

Sahur adalah makan walaupun sedikit pada akhir malam. Ia adalah perkara sunat ketika berpuasa. Sekalipun tidak makan, maka minum pun sudah dinamakan bersahur.

Sabda nabi SAW yang bermaksud: “Bersahurlah kerana pada sahur ada keberkatan.” (riwayat Bukhari)

Antara kekuatan sahur adalah sebagai penguat dan motivasi untuk berpuasa. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Minta tolonglah dengan makanan sahur atas puasa.” (riwayat al-Hakim)

Keberkatan sahur juga kerana kita mengikut sunnah Nabi SAW. Kebetulan doa pada waktu sahur amat mustajab.

Seelok-eloknya kita bersahur pada akhir malam kerana hadis Nabi SAW yang maksudnya: “Sentiasa umatku dalam kebaikan jika mereka mengawalkan berbuka dan melewatkan sahur”. (riwayat Ahmad)

Wednesday, September 2, 2009

Elak rugi di bulan Ramadan


bermain dam adalah antara aktiviti kegemaran semasa bulan puasa tetapi ia perlu dihadkan untuk mengelak masa kita terbuang begitu sahaja. - Gambar hiasan


SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadhan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran,

Daripada jumlah itu, 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, bertarawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang Subuh supaya cepat khatam.

Yang kena diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega Sale dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega Sale dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan dari mubaraknya Ramadan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba dari kelarisan jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan bulan Ramadan sebagai pesta juadah. Sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha.

Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah.

Jjika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diganjarkan juga dengan pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.

Friday, August 28, 2009

Pengurusan Ramadan Nabi SAW


Kita disuruh menyegerakan berbuka apabila sudah tiba waktunya. - Gambar hiasan


AHLAN
Wasahlan Ya Ramadan (Selamat Datang Ya Ramadan). Begitulah ucapan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya bila menjelang bulan al-mubarak sebagai menghormati dan menyambut bulan mulia tersebut.

Sebelum menjalankan ibadat Ramadan, ada beberapa perkara yang perlu difahami, di antaranya ialah puasa Ramadan adalah rukun Islam yang keempat.

Hukumnya adalah fardu (wajib) yang langsung dari perintah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Dalam hadis dijelaskan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Islam itu dibangun di atas lima (dasar). Kesaksian bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya, menegakkan solat, menunaikan zakat, melaksanakan puasa Ramadan dan menunaikan haji. (riwayat Muslim).

Dari ayat dan hadis di atas berpuasa Ramadan hukumnya wajib atas setiap Muslim dan Muslimat yang sihat akalnya, dan telah mukalaf, tidak dalam keadaan musafir dan sakit. Khususnya bagi wanita, tidak dalam keadaan haid dan nifas.

Allah SWT mensyariatkan berpuasa dan pelbagai ibadat Ramadan sebagai salah satu program yang harus dilalui setiap muslim dan mukmin dalam pembentukan karakter takwa mereka.

Sebaliknya ancaman keras bagi orang-orang beriman yang tidak melaksanakan ibadat puasa Ramadan.

Ia sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud: Ikatan dan penegak agama Islam itu ada tiga. Siapa yang meninggalkan salah satu darinya, maka ia telah kafir, halal darahnya iaitu: syahadat, solat fardu, puasa Ramadan. (riwayat Abu Ya'la dan Dailami). Yang dimaksudkan kafir ialah hukumnya seperti murtad.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang berbuka satu hari dalam bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (faktor yang membolehkan berbuka) dari Allah, maka tidak akan tergantikan walaupun ia melaksanakan puasa sepanjang masa. (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

Jenis-jenis puasa itu terbahagi dua, pertama puasa fardu (wajib), dan kedua puasa tathowwu' (puasa sunat).

Adapun puasa wajib terbahagi tiga, pertama puasa Ramadan, iaitu puasa yang dilaksanakan selama bulan Ramadan seperti dijelaskan dalam surah al-Baqarah: 183.

Kedua, puasa kaffarat (puasa denda), iaitu puasa yang wajib dilakukan sebagai denda dari pelanggaran hukum seperti pelanggaran dalam ibadat haji, membunuh tidak sengaja, melanggar sumpah dan sebagainya.

Ketiga, adalah puasa nazar, iaitu jika seseorang bernazar dengan berpuasa bagi perkara yang dinazarkannya seperti jika ia sembuh dari penyakit dan sebagainya maka ia bernazar untuk berpuasa. Puasa seperti ini disebut dengan puasa nazar dan wajib hukumnya.

Puasa tathowwu' (puasa sunat), adalah puasa enam hari di bulan Syawal. Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Siapa yang berpuasa Ramadan, kemudian dia teruskan dengan enam hari di bulan Syawal, seakan dia berpuasa sepanjang masa (tahun). (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i)

Isnin dan Khamis

Puasa hari Arafah bagi yang tidak menunaikan ibadat haji. Dalam hadis dijelaskan: Berpuasa hari Arafah (9 Zulhijah) menghapuskan dosa dua tahun, setahun sebelum dan setahun selepasnya. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Nasa'i).

Puasa hari Asyura (10 Muharam). Dalam hadis Rasulullah SAW dijelaskan: Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) menghapus dosa dua tahun yang lalu dan yang akan datang. Dan puasa Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu. (riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari, Tirmizi).

Berkaitan puasa Asyura, Rasulullah SAW menyarankan agar ditambah sehari sebelumnya agar tidak sama dengan Yahudi, kerana mereka juga berpuasa pada hari Asyura.

Puasa diperbanyak di bulan Syaaban. Dari Aisyah r.a dia berkata: Aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya kecuali di bulan Ramadan sahaja, dan aku tidak melihat banyak berpuasa di bulan selain Ramadan kecuali di bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Puasa pada hari Isnin dan Khamis. Dari Abu Hurairah r.a dia berkata: Rasulullah SAW paling banyak berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Lalu Baginda ditanya kenapa? Baginda menjawab : Sesungguhnya semua amal diangkat (ke langit) setiap hari Isnin dan Khamis. Maka Allah akan mengampunkan setiap Muslim atau setiap Mukmin kecuali dua orang yang sedang berbantah, maka Allah berkata : Tangguhkan keduanya." (riwayat Imam Ahmad).

Puasa tathowwu' (sunat) dibolehkan berbuka, khususnya jika ada penyebabnya seperti dijemput makan. Dari Abu Said al-Khudri r.a dia berkata: "Saya menyiapkan makanan untuk Rasulullah SAW, maka Baginda datang dengan beberapa sahabatnya. Ketika makanan dihidangkan salah seorang di antara mereka berkata: Sesungguhnya saya sedang berpuasa. Lalu Rasulullah berkata: Saudaramu telah menjemputmu dan telah bersusah payah untukmu. Kemudian Baginda bersabda: Berbukalah dan berpuasalah di hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu". (riwayat Baihaqi).

Setiap ibadat dalam Islam ada rukunnya agar ibadat itu dapat tegak dan berjalan dengan benar. Demikian juga dengan puasa Ramadan ada dua rukun.

Pertama, niat yang menentukan sah atau tidaknya ibadat seseorang seperti yang dijelaskan Rasulullah SAW: Sesungguhnya (sahnya) setiap amalan itu bergantung adanya niat, dan sesungguhnya setiap orang (akan memperoleh) sesuai apa yang diniatkannya. Siapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia yang akan dia peroleh atau wanita yang akan dinikahinya, maka dia akan memperoleh apa yang diniatkannya. (riwayat Muslim).

Setiap amal ibadat, baik wajib mahupun yang sunat akan bernilai di mata Allah jika didasarkan dengan niat.

Niat kerana Allah

Niatnya harus hanya kerana Allah, tidak menyeleweng sedikitpun. Kemudian itu niat letaknya dalam hati yang diucapkan dengan lisan, termasuk niat berpuasa Ramadan mesti dilakukan dalam hati. Waktunya sebelum terbit fajar.

Juga menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar sampai matahari tenggelam sebagaimana maksud dalam surah al-Baqarah: 187.

Yang berniat membatalkan puasanya di siang hari, dengan demikian membatalkan puasanya walaupun dia tidak makan atau minum.

Adapun yang membatalkan puasa dan mesti diqada dan kaffarat menurut jumhur ulama adalah berhubungan suami dan isteri dengan sengaja.

Kaffarat bagi yang berhubungan suami isteri ialah memerdekakan hamba. Jika tidak sanggup, berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika tidak mampu memberi makan fakir miskin sebanyak 60 orang, seperti yang dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW, yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Thursday, August 27, 2009

Kelebihan Ramadan dan orang yang berpuasa


DALAM bulan Ramadan, diam orang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.


RAMADAN datang lagi. Umat Islam di seluruh dunia kini begitu sibuk beribadah, termasuk menggandakan ibadat pada bulan yang mulia ini. Ramadan amat sinonim dengan salah satu daripada Rukun Islam iaitu berpuasa.

Ibadat yang mempunyai seribu satu macam rahsia dan hikmah. Begitu juga ia membawa kepada banyak pahala dan keuntungan bagi mereka yang berpuasa serta melakukan ketaatan pada bulan Ramadan.

Dibincangkan di sini fadilat Ramadan, puasa dan kelebihan puasa dan orang yang berpuasa:

Pertama: Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah sabda Nabi SAW: "Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hambaku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam."

Hadis ini menunjukkan kemuliaan Ramadan dan keistimewaan mulut orang yang berpuasa di sisi Allah SWT di samping syaitan yang dibelenggu kerana kelebihan Ramadan.

Kedua: Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Zain bin al-Munir dalam al-Fath al-Bari : Sesungguhnya dikatakan pada syurga, tidak dikatakan bagi syurga untuk menggambarkan bahawa pintu itu sendiri sebahagian daripada kenikmatan dan kerehatan yang membawa lebihan rasa rindu kepadanya.

Ketiga: Mengikut riwayat al-Nasaie sama seperti di atas kecuali ditambah sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum dan siapa yang minum nescaya tidak dahaga selama-lamanya."

Hadis ini menunjukkan kelebihan minuman dalam syurga yang menghilangkan dahaga selama-lamanya.

Keempat: Mengikut riwayat Imam Ahmad dan al-Nasaie daripada Abi Hurairah r.a sabda Rasulullah SAW: "Puasa merupakan perisai." Dan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat."

Ini kerana, puasa mempunyai kelebihan yang tersendiri dan pada ghalibnya (kebiasaannya), mereka yang berpuasa akan memelihara nilai puasanya.

Kelima: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As, "Puasa merupakan perisai daripada azab Allah.

Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa yang melindungi tuannya daripada disambar api neraka.

Keenam: Imam Ahmad, Muslim dan al-Nasaie meriwayatkan daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya Allah berfirman: "Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Hadis qudsi ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripadanya.

Ketujuh: Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa yang tidak ditolak".

Hadis ini menunjukkan kelebihan orang yang berpuasa dengan mustajabnya doa.

Kelapan: Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: "Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan".

Hadis ini menunjukkan terlalu banyak kelebihan orang yang berpuasa, sekalipun mereka diam dan tidur.

Kesembilan: Ibn Majah meriwayatkan daripada Ibn Jabir, Ahmad, al-Tabarani dan al- Baihaqi daripada Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam."

Hadis ini menunjukkan keampunan Allah SWT kepada yang berpuasa.

Kesepuluh: Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: "Puasa merupakan separuh kesabaran dan atas tiap sesuatu mempunyai zakat dan zakat bagi tubuh badan adalah puasa."

Hadis ini menggambarkan betapa sabarnya orang yang berpuasa.

Kesebelas: Imam Ahmad, al-Turmidzi dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ummi Imarah: "Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan sentiasalah malaikat berselawat ke atasnya sehingga selesai makanannya".

Hadis ini dengan jelas menunjukkan betapa malaikat berdoa dan berselawat kepada yang berpuasa.

Sebenarnya banyak lagi kelebihan puasa dan Ramadan seperti mendapat syafaat dan dijauhkan daripada neraka.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan dengan kunjungan Ramadan al-Mubarak dengan berpuasa dan beramal. Selamat berpuasa dan semoga diterima Allah.

Wednesday, August 26, 2009

Hukum muntah semasa puasa

SOALAN 1:
Ketika kecil dahulu, saya ada juga menggosok gigi dan menjolok kerongkong (tekak) sehingga muntah. Apakah hukumnya?

Jawapan:

Jika sengaja untuk muntah seperti menjolok-jolok jari ke kerongkong lalu muntah, maka batallah puasanya. Sabda Nabi yang bermaksud; “Sesiapa yang termuntah maka tidaklah kena qada (ganti). Dan sesiapa yang berusaha muntah dengan sengaja maka hendaklah qada”.

Jika tidak sengaja seperti mabuk kenderaan, mabuk kapal dan sebagainya maka puasanya tidak batal. Begitu juga jika wanita muntah akibat mabuk hamil, maka puasanya tidak batal.

Soalan 2:

Saya ada membaca buku yang mengatakan salah satu yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga perut. Saya kurang faham bagaimana cara masuk ke rongga perut itu?

Jawapan:

Segala yang masuk secara sengaja ke dalam rongga perut seperti melalui mulut, hidung, telinga dan qubul maka ia akan membatalkan puasa. Walaupun benda itu bukan makanan atau minuman.

Contohnya seperti batu atau tanah, maka puasa tetap dikira batal. Termasuk dalam perkara ini ialah menghisap rokok. Sesungguhnya hisap rokok membatalkan puasa.

Semua jenis rokok adalah membatalkan puasa walaupun rokok daun. Begitu juga dengan cerut. Ada pula budaya Arab yang makin mendapat tempat iaitu menghisap syisya. Ini juga dikira batal.

Begitu juga menelan air gelema. Air gelema tidak sama dengan air liur. Menelan air liur tidak membatalkan puasa, sementara air gelema membatalkan puasa.

Begitu juga perbuatan mengorek ke dalam telinga dan menitiskan ubat melalui telinga.

Ketika wuduk, berkumur-kumur adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun hendaklah berhati-hati agar tidak keterlaluan. Ditakuti ada air yang akan masuk ke dalam perut melalui mulut dan hidung.

Tuesday, August 25, 2009

Hak dan adab Ramadan


Kita disunatkan berbuka dengan buah kurma sebelum menikmati juadah yang lain. - Gambar hiasan


ALLAHU akbar wa lillahil hamd! Dengan kuasa dan kurnia Yang Maha Berkuasa, yang mana segala puji-pujian kembali hadrat-Nya, sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan. Haniian lakum!

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua umat Islam yang bersama-sama memasuki gerbang Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

Selain daripada amal ibadah khusus, sudah menjadi suatu adat kita menyambut kedatangan Ramadan dengan mengisi ruang-ruang majlis ta'lim, kuliah dan ceramah dengan peringatan tentang kepentingan hakikat dan kelebihan Ramadan.

Walaupun kita mendengar nas-nas yang sama diulang-ulang oleh para ulama dan pendakwah, sebenarnya proses tazkirah Ramadan atau peringatan-peringatan sempena Ramadan adalah persiapan mental-spiritual yang sangat penting serta menjadi kunci yang menentukan mutu dan kualiti penghayatan Ramadan kita.

Ini kerana memang menjadi prinsip dalam agama kita bahawa bagi setiap amal ibadah kita sebagai hamba, sudut dalaman dan maknawi ibadah itulah yang merupakan maksudnya dan penentu nilainya yang utama.

Inilah yang dapat kita fahami di sebalik pelbagai nas dan kaedah seperti hadis, Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung pada niatnya dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya… (riwayat Bukhari dan Muslim) serta hadis yang bermaksud "Niat seorang Mukmin itu lebih baik daripada amalannya".

Falsafah yang sama juga dapat diselami di sebalik sepotong hadis Qudsi yang bermaksud, Allah berfirman, "Aku menurut sangkaan (dzan) seseorang hambaKu padaKu".

Oleh itu, walaupun kita sudah saban tahun berpuasa Ramadan, kita tidak harus memandang rendah kepentingan mengingatkan diri kita tentang segala fadilat, kaifiyat dan rahsia Ramadan.

Ia agar kita dapat menghayatinya dengan sebaik-baik niat, azam, pengharapan dan husnu dzan (bersangka baik) yang dengannya, insya-Allah, akan mengangkat tinggi mutu Ramadan kita.

Kita dibekalkan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya SAW sekian banyak nas-nas yang mengingatkan kita tentang keistimewaan Ramadan yang sebahagiannya telah kita himbau pada minggu lepas.

Namun, rasanya antara yang paling istimewa dan jelas adalah sepotong hadis yang kaedah penyampaiannya juga menarik. Abu Hurairah r.a meriwayatkan dalam Sahih Ibnu Hibban, "Bahawa Nabi SAW telah menaiki mimbar lalu bersabda, "Amin. Amin. Amin". Baginda pun ditanya, "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya engkau telah menaiki mimbar lalu mengucapkan Amin. Amin. Amin?"

Sabda Baginda SAW, "Sesungguhnya Jibril a.s telah datang kepadaku dan berkata, "Sesiapa yang berkesempatan bertemu Ramadan, tetapi tidak diampunkan dosa-dosanya, maka dia akan masuk neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmatNya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'.

Sesiapa yang sempat bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya tetapi tidak melakukan kebajikan kepada keduanya kemudiannya dia mati, maka dia akan masuk neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmat-Nya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'. Sesiapa yang disebut di sisinya namamu tetapi tidak mengucapkan selawat ke atasmu kemudiannya dia mati, maka dia akan masuk Neraka dan Allah menjauhkannya (dari rahmat-Nya), ucapkanlah (Wahai Muhammad), 'Amin', maka saya pun mengucapkan 'Amin'.

keampunan

Hadis ini mengingatkan kita bahawa peluang mendapatkan keampunan dan Tuhan di Ramadan begitu istimewa. Sehingga sesiapa yang gagal memanfaatkan peluang tersebut cukuplah kelalaiannya itu untuk memasukkan dirinya ke neraka dan menjauhkannya daripada rahmat Allah.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada tergolong dalam golongan itu.

Walaupun kita menegaskan niat dan adab hati dalam menghayati Ramadan itu lebih utama, sudah tentu kaifiyat dan cara amalinya juga harus benar dan betul, rukun dan syaratnya, wajib dan sunatnya.

Cuma janganlah pula aspek ini yang menjadi sumber pertikaian dan pertengkaran. Samalah seperti amal ibadat dan hukum-hakam kita yang lain, segalanya sudahpun dihuraikan oleh para ulama umat ini yang adil lagi amanah.

Ilmu berkaitannya tersusun rapi dalam kerangka syariat dan fiqh mengikut mazhab-mazhab yang muktabar.

Telah jelas dinyatakan persoalan-persoalan mana yang muktamad dan mengikat serta isu-isu mana yang masih nisbi (relatif) dan khilafiah yang memberi ada ruang untuk kita berbeza pandangan dan cara amalan.

Bila kita boleh dan bagaimana caranya kita berbeza pandangan dengan penuh hormat dan tanpa menjejaskan ukhuwah juga telah jelas digariskan oleh para ulama.

Mengikut pandangan-pandangan yang muktamad dalam mazhab-mazhab yang muktabar termasuklah Mazhab Shafie yang telah dipilih oleh ulama, umarak dan umat rantau ini sejak sekian lama adalah bererti kita bersungguh-sungguh cuba menghayati Ramadan mengikut cara Nabi SAW.

Pandangan muktamad dalam mazhab-mazhab muktabar adalah pandangan-pandangan terpilih oleh generasi demi generasi para ulama terpilih dan terbaik umat ini.

Mempertikaikan kerangka tasawwur Islam bermazhab atas nama dan slogan 'Berpuasa mengikut al-Quran dan sunnah' atau 'Berpuasa mengikut cara Nabi SAW' adalah suatu kecenderungan dan pendekatan yang berbahaya dan boleh menimbulkan perpecahan dalaman Umat yang dibenci oleh Allah SWT.

Jika kita tidak berhati-hati, hari-hari Ramadan kita akan terbazir pada perselisihan pendapat dan pertengkaran yang sepatutnya dapat dielakkan.

Sebaiknya marilah kita menghitung-hitung dan menumpukan kepada sebanyak mungkin hak dan adab Ramadan yang patut kita tunaikan dengan sesempurna mungkin.

Sekadar sebagai tazkirah atau peringatan, berikut disenaraikan secara am dan ringkas, perkara-perkara wajib, sunat dan penyempurnaan puasa bulan Ramadan sebagai amalan khusus bulan ini.

Perkara wajib puasa:

i. Mengetahui permulaan Ramadan.

ii. Berniat pada setiap malam Ramadan

iii. Menahan diri daripada makan dan minum, jimak, mengeluarkan mani atau muntah dengan sengaja pada siang hari.

Perkara sunat puasa:

i. Bersahur.

ii. Melambat-lambatkan sahur.

iii. Menyegerakan berbuka.

iv. Meninggalkan bersugi setelah tergelincir matahari.

v. Membanyakkan sedekah dan meluaskan belanja bagi keluarga serta menggandakan amalan kebajikan yang lain.

vi. Membanyakkan tadarus al-Quran.

vii. Memperbanyakkan iktikaf di dalam masjid.

Selain perkara-perkara asas di atas, kita juga diajar melalui perantaraan para ulama untuk menjaga perkara-perkara yang menyempurnakan puasa kita, moga-moga kita beroleh puasa ahli Khawas iaitu puasa mereka yang soleh dan bertakwa. Antara perkara itu adalah:

i. Menunduk dan memejamkan mata dari perkara yang tidak sepatutnya.

ii. Memelihara lidah daripada perkataan yang haram dan sia-sia.

iii. Memelihara telinga daripada benda-benda yang haram, makruh dan sia-sia.

iv. Menjaga tangan, kaki dan anggotanya yang lain daripada perkara yang haram, makruh dan sia-sia.

v. Menjaga perutnya ketika berbuka daripada benda-benda yang haram atau syubhat.

vi. Tidak terlalu memenuhkan perutnya dengan makanan yang halal apabila berbuka.

vii. Sentiasa merasa khauf (takut) kiranya puasanya tidak diterima Allah SWT dan raja' (harap) agar-agar Allah SWT menerima puasanya.

Begitulah tujuh perkara yang boleh menyempurnakan lagi puasa kita walaupun ada lagi diriwayatkan pelbagai amalan mereka yang lebih tinggi martabatnya di sisi Tuhan seperti menahan diri daripada apa-apa keinginan dan keasyikan duniawi serta mengosongkan diri dari memikirkan selain daripada Allah SWT dan Akhirat sebagai sebahagian daripada puasa Ramadan.

Marilah kita bersama-sama berusaha bersungguh-sungguh memburu rahmat dan keampunan Allah di bulan Ramadan ini dengan memelihara segala hak dan adab-adabnya, semoga Allah SWT memperkenankan dan mengizinkan. Amin Ya Rabbal 'alamin, Ramadan Karim! Kullu 'aam wa antum bi khayr.

(Rujukan utama: buku Tazkirah Ramadan oleh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki, Sofa Productions, Kuala Lumpur: 2002)

Sunday, August 23, 2009

Kepalsuan Hadis Fadhilat Solat Terawih


Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya. SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali .a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Sayidina Ali Abi Talib ra. meriwayatkan sebuah Hadis (yang panjang) daripada Rasulullah s.a.w, iaitu jawapan baginda ketika ditanya oleh para sahabat mengenai fadhilat dan kelebihan solat Tarawih pada setiap malam di bulan Ramadhan.


Baginda bersabda bahawa:

Malam ke 1

Diampuni dosa-dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

Malam ke 2

Diampunkan dosa orang-orang yang beiiman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa- dosa kedua ibu bapanya.

Malam ke 3

Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malarnmalam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Malam ke 4

Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al- Quran.

Malam ke 5

Allah S.W.T akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang- orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam ke 6

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

Malam ke 7

Seoalah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir'aun dan Hamman.

Malam ke 8

Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Malam ke 9

Allah S.W.T akan mengumiakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Malam ke 10

Allah SWT mengurniakan kepada kebaikan dunia dan akhirat.

Malam ke 11

la meninggal dunia didalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

Malam ke 12

la akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

Malam ke 13

la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

Malam ke 14

Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

Malam ke 15

Semua malaikat yang memikul Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam ke 16

Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam ke 17

Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam ke 18

Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

Malam ke 19

Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam syurga firdaus.

Malam ke 20

Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Malam ke 21

Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

Malam ke 22

la akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

Malam ke 23

Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

Malam ke 24

Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam ke 25

Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

Malam ke 26

Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam ke 27

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

Malam ke 28

Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

Malam ke 29

Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

Malam ke 30

Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumiah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.


Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Saturday, August 22, 2009

Panduan Ramadhan Al Mubarak

Pertamanya, perlu kita faham bahawa, Ramadhan ini bolehlah dikatakan bulan paling istimewa dan paling mulia antara bulan-bulan Islam yang lain. Mukjizat terbesar Nabi SAW iaitu Al-Quran pun, telah diturunkan dalam bulan Ramadhan. Di dalam bulan Ramadhan terdapat pelbagai fadhilat dan kelebihan yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan.

Berikut ini adalah beberapa panduan dan peringatan bagaimana cara kita menyambut Ramadhan mengikut apa yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.” (al-Baqarah 2:183)

1. Jadikan Ramadhan sebagai bulan latihan kerohanian.
Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.

Jadi, mari kita azam dalam diri masing-masing, untuk menjalani ibadah puasa dengan sebaik mungkin, mengawal nafsu syahwat dan melakukan banyak kebaikan. Latihlah diri untuk mengawal hawa nafsu dan perangai buruk kita sepanjang bulan ini.

2. Rebutlah Lailatul-Qadar, malam seribu bulan yang dijanjikan.
Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. ” (al-Qadr 97:1-3)

Allah dah berikan peluang merebut malam seribu bulan ini kepada kita hanya dalam bulan Ramadhan, jadi jangan kita sia-sia kan peluang ini. Marilah kita memperbanyakkan ibadah dan bermunajat kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh pada bulan Ramadhan ini.

3. Berpuasa dengan bersungguh-sungguh dan penuh keimanan, mohonlah keampunan daripada Allah terhadap dosa-dosa yang telah kita lakukan.
Allah berjanji akan mengampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keazaman.

Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

4. Kawal diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan.

Jauhi perkara yang sia-sia (laghoo). Sebaliknya perbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.

5. Sabar ke atas kecaman, umpatan atau musibah yang menimpa.
Rasulullah SAW mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa… sesungguhnya aku sedang berpuasa.”

6. Jangan bergosip atau sibuk memperkatakan hal-hal orang lain yang sia-sia.
Jagalah diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan. Lebih-lebih lagilah dalam bulan Ramadhan, memang hukumnya adalah lebih berat dan diberi penekanan.

7. Sentiasa berniat untuk melakukan kebaikan dan membantu sesama Muslim, terutamanya dalam hal melakukan kebaikan kepada keluarga sendiri.
Kita sangat-sangat disarankan untuk sentiasa berniat untuk melakukan kebaikan dan menjaga kebajikan serta saling membantu sesama Islam dalam menyelesaikan masalah.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.

Dalam bulan Ramadhan ini, kita sangat-sangat dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita.

8. Lipatgandakanlah amal ibadah kepada ALLAH sepanjang bulan Ramadhan.
Antara amalan-amalan yang perlu kita utamakan ialah ;

  • Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula banyakkan menghadiri majlis ilmu.
  • Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.
  • Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajjud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.
  • Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.
  • Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.
  • Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.
  • Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.
  • Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah SAW:

“Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.”

Friday, August 21, 2009

Niat Puasa

Lafaz niat utk sebulan puasa

“Sahaja aku berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan kerana Allah Ta”ala”

niat-puasa


نـَوَيْتُ صَوْم َ شـَهْرِ رَمـَضَانَ كـُلـِهِ لِلـَّهِ تـَعَالىَ

(nawaitu souma godhin ‘an adaa i, fardhi syahri ramadhaana haadzihis sanati lillahi ta’aalaa)


Niat puasa ramadhan :

“Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Alalh Ta’ala”

نـَوَيْتُ صَوْمَ غـَدٍ عَـنْ ا َدَاءِ فـَرْض ِ شـَهْرِ رَمـَضَانَ هـَذِهِ السَّـنـَةِ لِلـَّهِ تـَعَالىَ

Niat berbuka puasa :

niat-berbuka-puasa

(allahumma laka somtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin)

Maksudnya:

“Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang”.